Kuching: Filem tentang buaya legenda Sarawak, bertajuk ‘Bujang Senang’ adalah antara tiga filem yang penggambarannya akan dibuat di Sarawak.

Filem berharga RM12 juta itu akan diterbitkan bersama-sama oleh Hollywood dan Malaysia.

Dua lagi filem adalah terbitan Malaysia bertajuk ‘Kilat’ berharga RM6 juta dan ‘Sapok Biki’ diterbitkan oleh Moonbeam Production, kata Pengarah Festival dan Anugerah Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA), Livan Tajang.

Beliau berkata, memorandum persefahaman bagi penggambaran filem berkenaan di Sarawak akan ditandatangani pada AIFFA akan datang di sini, dari 9 hingga 11 April.

Katanya acara kemuncak festival itu adalah majlis makan malam gala AIFFA dan penyampaian anugerah pada 11 April di Pusat Konvensyen Borneo Kuching.

Lebih 50 filem bersaing untuk anugerah berkenaan.

Livan berkata, 150 pengeluar filem di ASEAN dan antarabangsa akan menghadiri festival itu, selain 200 selebriti dari China, Vietnam, Filipina, Indonesia, Singapura, Thailand, Kemboja, Laos, Brunei, Myanmar dan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Februari 2015 @ 3:52 PM