Agensi

Jakarta: Dua anggota tentera Indonesia ditemui mati dengan kesan tembakan di Aceh, semalam.

Jurucakap Tentera Nasional Indonesia (TNI) Fuad Basya mengesahkan penemuan mayat dua anggota unit perisikan wilayah Aceh Utara itu kepada media.

Menurutnya, kedua-dua askar sebelum ini dilapor diculik sekumpulan bersenjata ketika menjalankan tugas di kawasan operasi masing-masing dan berpakaian preman.

“Mayat mereka ditemui di kawasan terpencil di Aceh Utara pagi ini (semalam). Kesan tembakan cukup banyak pada tubuh mangsa. Kami sudah mengerahkan anggota memburu dan menjejaki pembunuh terbabit,” kata Fuad.

Sementara itu, di Aceh, panglima tentera daerah Aceh Utara Major Jeneral Agus Kriswanto berkata, pihaknya akan memburu kumpulan penyerang terbabit sehingga ditangkap.

“Kami akan bertindak sesuai dengan etika dan kemampuan kami,” kata Agus.

Bagaimanapun, pegawai itu mengesahkan pihaknya masih belum dapat memastikan kumpulan terbabit, mahupun motif mereka.

Dalam pada itu, sumber tentera berkata, pasukan keselamatan kini melancarkan gerakan memburu lelaki bernama Din Minimi kerana disyaki bertanggungjawab dalam pembunuhan berkenaan.

Din ialah bekas anggota Gerakan Aceh Merdeka (GAM).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2015 @ 8:20 AM