ISMAIL Sabri (tengah) melihat buku Apa Kata Menteri.
ISMAIL Sabri (tengah) melihat buku Apa Kata Menteri.
ISMAIL Sabri mencuba produk usahawan.
ISMAIL Sabri mencuba produk usahawan.
PENERIMA Anugerah Tokoh dari kiri Abdul Wahab Abdullah, Datuk Rashid Jassin dan Anugerah Khas, Ishak Abdul Rahman.
PENERIMA Anugerah Tokoh dari kiri Abdul Wahab Abdullah, Datuk Rashid Jassin dan Anugerah Khas, Ishak Abdul Rahman.
Oleh Mohd Sabran Md Sani


Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) bersungguh-sungguh dalam menyediakan platform kepada usahawan muda dengan mewujudkan Unit Agropreneur Muda kepada golongan terbabit.

Usaha itu bagi meningkatkan pembabitan golongan muda dalam industri agro makanan.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehubungan itu kementerian menggabung­kan unit berkenaan dengan unit Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

“Ia bagi menyusun semula struktur organisasi serta pendekatan skop kerja yang lebih teratur dan sistematik, sekali gus menyelaras program pembangunan usahawan agropreneur muda.

Menurutnya, kerajaan menggalakkan penyertaan belia di bawah usia 40 tahun dalam bidang keusahawanan tani.

“Seterusnya, menarik golongan ini untuk mewujudkan generasi pelapis dalam sektor pertanian.

“Dengan program yang diatur, saya percaya semangat dan tekad anak muda ini menceburi bidang pertanian akan lebih jitu,” katanya berucap dalam Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Ke 42, baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha MOA, Datuk Mohd Arif Ab Rahman; Pengerusi LPP, Datuk Zainal Dahalan serta Ketua Pengarah, Datuk Arpan Shah Satu dan Pengerusi Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Datuk Seri Saipolbahri Shuib.

Terdahulu, Ismail Sabri mengadakan lawatan pameran dan jualan usahawan di aras tanah, Menara LPP.

Satu tayangan video berkenaan Sorotan LPP 2014 dipersembahkan kepada tetamu.

Selesai sesi ucapan, beberapa anugerah diberikan seperti Anugerah Tokoh LPP, Anugerah Khas LPP dan Penyampaian Buku ‘Apa Kata Menteri’ 42 Tahun Lembaga Pertubuhan Peladang.

Ismail Sabri berkata, dia berasa bangga kerana usahawan daripada Kor Tani bersama-sama menjayakan sambutan ulang tahun pertubuhan berkenaan.

“Kita percaya mereka inilah akan menjadi penyambung usaha peladang senior yang ada sekarang,” katanya.

Bagi menyelaras Program Agropreneur Muda di peringkat MOA katanya, satu garis panduan pelaksanaan progam berkenaan dilaksanakan.

“Ia merangkumi kaedah pelaksanaan, syarat dan terma, skop bantuan, peranan dan keanggotaan dari peringkat MOA ke negeri atau daerah disediakan.

“Melalui Agropreneur Muda, kita sasarkan pendapatan melebihi RM5,000 sebulan,” katanya.

Katanya, pakej keusahawanan yang dibangunkan oleh jabatan serta agensi dan swasta adalah berdasarkan projek tumpuan di bawah MOA selari agro makanan serta projek bernilai tinggi.

“Sehingga kini, sejumlah 3,244 pendaftaran belia direkodkan dan daripada jumlah itu, seramai 1,672 sedia ada menjalankan pelbagai aktiviti pertanian dengan kerjasama jabatan dan agensi di bawah MOA.

“Kita juga mengadakan program latihan teknikal dan kewangan kepada Agropreneur Muda mengikut bidang usaha dipilih,” katanya.

Pembiayaan Agrobank dan Tekun Nasional terus mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan ini.

“Sehingga kini, sejumlah 254 permohonan dengan nilai RM33.32 juta diterima.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 143 permohonan berjumlah RM10.35 juta diluluskan oleh Agrobank dan Tekun Nasional,” katanya.

Bawah Program Pembangunan Agropreneur Muda katanya, kementerian mempertimbangkan bantuan insentif ‘in kind contribution’ sebanyak 30 peratus daripada kos projek.

“Terutama kepada penerima kelulusan pembiayaan melalui agensi pembiaya Agrobank ataupun Tekun Nasional.

“Pemberian insentif ini adalah merangkumi bantuan insentif untuk perolehan peralatan kelengkapan bagi meningkatkan projek termasuk input pertanian dan keperluan bahan mentah,” katanya.

Sementara itu katanya, kementerian akan terus berjihad untuk memerangi orang tengah.

“Selama ini (mereka) menjadi punca kesukaran dalam meningkatkan pendapatan golongan sasar.

“Mereka menindas pendapatan peladang, penternak serta nelayan, malah turut memberi kesan kepada harga barang,” katanya.

Katanya, isu bekalan dan permintaan, kos pengeluaran, kualiti produk serta pasaran juga menjadi antara penyebab yang boleh dimanipulasi orang tengah dalam menekan golongan sasar dan pengguna.

“Justeru, kita melancarkan jihad kepada tiga subsektor utama iaitu jihad memerangi orang tengah dalam subsektor padi dan beras, subsektor perikanan serta subsektor sayur dan buah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2015 @ 11:50 AM