AHMAD Shabery  (tiga dari kiri) bersama Zainal (empat dari kiri) melawat gerai  pameran di Majlis Perasmian Transformasi 44 Tahun LPP, semalam.
AHMAD Shabery (tiga dari kiri) bersama Zainal (empat dari kiri) melawat gerai pameran di Majlis Perasmian Transformasi 44 Tahun LPP, semalam.

Kuala Lumpur: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) digesa menghasilkan produk juara yang mampu bersaing dan terkenal di peringkat antarabangsa.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, cabaran itu diberikan pihaknya kepada LPP untuk menghasilkan produk pertanian yang mendapat permintaan tinggi dari luar negara.

“Sudah tiba masanya kita seharusnya memfokuskan kepada penghasilkan produk pertanian sebagai transformasi penubuhan LPP selama 44 tahun.

“Negara kita banyak sumber bahan mentah yang berkualiti, namun ia masih belum dapat menyaingi kualiti barangan pertanian daripada luar sama ada dari segi produktiviti dan harga,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Transformasi 44 Tahun LPP, di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MOA Badrul Hisham Mohamad, Pengerusi LPP Tan Sri Zainal Dahalan dan Ketua Pengarah LPP Datuk Mohd Salim Taha.

Menurut Ahmad Shabery, banyak negara luar seperti Thailand, Taiwan dan Jepun sendiri cukup maju dalam industri pertanian menunjukkan kepentingan sektor ini selain sektor perindustrian.

“Dalam membincangkan aspek transformasi LPP, ia bukan lagi sekadar lontaran idea untuk membina gagasan baru.

“Sebaliknya, LPP perlu menjalankan kajian terperinci untuk mengorak ke arah penghasilan produk yang boleh bersaing dan menjadi juara di peringkat antarabangsa seperti yang dihasilkan negara lain,” katanya.

Tambah beliau, kejayaan penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) di Taman Pameran Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang menjadi bukti keupayaan MOA dalam menganjurkan program besar dan menarik kehadiran ramai pengunjung.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2017 @ 5:04 AM