Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

Rompin: Golongan muda terutama di bawah 40 tahun diminta memanfaatkan inisiatif dan kemudahan pembiayaan disediakan menerusi Program Agropreneur Muda bagi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini, program itu hanya menghasilkan 337 usahawan tani muda sejak program itu dilancarkan pada 2014.

Beliau berkata, jumlah itu amat sedikit berbanding sasaran kementerian untuk menghasilkan 1,000 usahawan tani menerusi program berkenaan setiap tahun.

"Kita mahu meningkatkan penyertaan usahawan tani muda yang kini meliputi hanya kira-kira 15 peratus daripada jumlah petani di seluruh negara.

"Ia bagi meningkatkan pengeluaran hasil pertanian dalam negara bagi menampung bekalan makanan untuk penduduk negara sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada eksport hasil pertanian.

"Bagi tahun ini, kita menyediakan peruntukan RM10 juta bagi pemberian geran di bawah program ini.

"Ia dalam bentuk 'in-kind contribution' daripada kementerian sebanyak 30 peratus daripada kos projek akan diberikan kepada pemohon yang layak dalam bentuk peralatan dan input pertanian," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Jelajah Agropreneur Muda dan Penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Bandar Tun Abdul Razak di sini, pagi tadi.

Program Agropreneur Muda memberikan latihan dan bimbingan percuma dalam aspek teknikal, kewangan, pembungkusan dan pemasaran oleh pihak jabatan dan agensi di bawah kementerian.

Selain geran, ia juga menyediakan pembiayaan kewangan sehingga RM300,000 menerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan Agrobank dengan tanpa cagaran dan pinjaman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2015 @ 3:01 PM