Kuala Lumpur: Pemandu pasukan Mercedes AMG Petronas Formula One (F1), Nico Rosberg (gambar) menyatakan sokongannya kepada Malaysia untuk terus menganjurkan perlumbaan F1 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) musim depan.

Pada masa ini, SIC terlibat dalam perbincangan dengan Formula One Management (FIM) bagi lanjutan kontrak F1 di Malaysia dan keputusannya dijangka diketahui menjelang 29 Mac ini.

“Sepang tempat cukup istimewa bagi pasukan Petronas, sudah tentu perlumbaan diadakan di sini dan ia juga (venue) penting bagi saya kerana sudah beberapa kali menaiki podium di sini.

“Saya berharap kita dapat kembali beraksi selama beberapa tahun lagi,” katanya selepas menghadiri program promosi semalam.

Pelumba kelahiran Jerman itu menyifatkan Sepang sebagai ‘menakjubkan’ dengan dibanjiri ramai penonton setiap kali F1 berlangsung.

Rosberg melahirkan keyakinan dia dan rakan sepasukan Lewis Hamilton akan kekal sebagai pendahulu di Litar Sepang semasa Grand Prix F1 Malaysia hujung minggu ini.

Mengenai ramalannya hujung minggu ini, Rosberg berharap untuk beraksi di litar basah kerana cuaca hujan akan menjadikan acara itu lebih menarik. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2015 @ 8:42 AM