HAMILTON (kanan) menurunkan autograf pada  peminat kecil ketika sesi bertemu peminat di ruang legar KLCC, semalam.
HAMILTON (kanan) menurunkan autograf pada peminat kecil ketika sesi bertemu peminat di ruang legar KLCC, semalam.
Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Pelumba Mercedes AMG PETRONAS Lewis Hamilton tetap akan terus fokus untuk mendominasi setiap perlumbaan termasuk di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini meskipun mungkin ada pihak melabelkan penguasaan mereka akan membosankan perlumbaan berprestij itu.

Jelas Hamilton, ia adalah satu kitaran dalam saingan Formula Satu (F1) dan dia sendiri pernah menyaksikan suasana itu ketika era juara dunia tujuh kali Michael Schumacher bersama jentera Ferrari.

“Kalau satu atau dua tahun mungkin ia masih lagi ok, tetapi apabila anda mendominasi saingan tiga hingga empat tahun berturut-turut, ia akan memberikan tekanan berbeza kepada seseorang pelumba itu seperti mana berlaku kepada pasukan Red Bull.

“Tapi pada akhirnya, inilah impian seorang pelumba iaitu mahukan kereta konsisten dan pantas di atas litar. Inilah juga yang saya impikan.

“Mahu tidak mahu pasukan lain perlu berusaha untuk bersaing setanding dengan kami,” katanya pada sidang media semalam.

Jentera Mercedes dilihat sukar dicabar pada pusingan pertama di Grand Prix (GP) Australia apabila menyaksikan Hamilton menamatkan perlumbaan dengan kelebihan 30 saat berbanding rakan sepasukan Nico Rosberg di tempat kedua.

Mengulas perlumbaan di Sepang, Hamilton menegaskan, mereka memerlukan jentera yang benar-benar konsisten sepanjang perlumbaan jika mahu meraih kejayaan.

“Sepang adalah litar cukup mencabar dan sebab itu pasukan perlu bekerja keras menghasilkan jentera terbaik.

“Saya berharap kami dapat menamatkan saingan hujung minggu ini dengan cemerlang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2015 @ 9:41 AM