TAMPAK rendah.
TAMPAK rendah.
Oleh Erywan Norshal


“Jentera ini bentuk klasik tetapi menerapkan sedikit imej cafe racer,” kata Hamziezar Hamzah, 44, menerangkan latar belakang motosikalnya yang menghiasi ruangan Modifikasi minggu ini.

Beliau lebih dikenali sebagai Riezal yang juga selaku presiden bagi komuniti Regim Ryder berkata, lebih 80 peratus bentuk asal motosikal itu diubah suai dengan menampilkan reka bentuk unik.

Menurutnya, jentera keluaran BSA miliknya ini adalah hasil ‘nukilan’ Eastern Bobber sebelum melakukan pengubahsuaian semula untuk mengikut cita rasanya.

“Kerangka jentera ini ditempah khas melalui beberapa proses dan dipanjangkan hampir tiga inci berbanding model asal.

“Bagi membuatkan lebih menyerlah, kerangka diwarnakan emas dan turut menggabungkan cat semburan angin warna hitam putih pada beberapa komponen seperti tangki serta pelindung tayar belakang,” katanya.

Riezal berkata, bahagian hadapan jentera itu tampak lebih ‘pelik’ apabila suspensi hadapan menggunakan gegelung penyerap hentak tunggal dengan padanan meter kelajuan kecil.

Menurutnya, rangkaian kuasa dipadankan bersesaran 200 cc yang turut diserikan sistem ekzos krom melingkari bahagian enjinnya.

Jelas Riezal, rim aloi warna keemasan bersaiz 21 inci pula membuatkan ia kelihatan secocok dengan kerangka, malah jentera itu dipadankan dengan sistem brek cakera pada bahagian hadapan serta belakang.

“Jentera ini hanya ditunggang sekiranya saya menyertai aktiviti permotoran dan cara tunggangnya seakan-akan seperti menunggang basikal.

“Bagi menyiapkan motosikal ini, saya tidaklah mengeluarkan belanja yang banyak berbanding melakukan pengubahsuai konsep lain kerana kebanyakan komponen digunakan adalah ditempah khas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2015 @ 11:12 AM