DOLLAH (kiri) dan  Indra Putra Mahayuddin pada sesi latihan di Wisma FAM, semalam.
DOLLAH (kiri) dan Indra Putra Mahayuddin pada sesi latihan di Wisma FAM, semalam.
Oleh Mohd Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Sentuhan ‘ajaib’ dimiliki pengendali skuad kebangsaan Dollah Salleh sekali lagi dituntut apabila beliau membentuk semula pasukan Harimau Malaya untuk ujian pertama tahun ini, menentang Oman dalam perlawanan persahabatan di Muscat, 26 Mac ini.

Jika musim lalu, bekas jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu mengakui agak resah memikirkan tempoh persiapan agak singkat bagi menghadapi saingan Piala AFF, namun situasi agak berbeza kali ini kerana beliau berpeluang menguji muka baru mengikut seleranya untuk membentuk pasukan mantap.

Perkara itu diakui pemerhati bola sepak negara Khalid Ali yang menyifatkan Dollah bakal menyuntik nafas baru dalam pasukan kebangsaan dengan memberi peluang kepada muka baru.

“Dulu beliau (Dollah) terpaksa membentuk pasukan dalam tempoh singkat selepas dilantik ke jawatan itu dengan sasaran ke final. Jadi beliau tidak mempunyai pilihan untuk membuat ‘eksperimen’ dan terpaksa memanggil pemain lama yang sudah biasa bermain di peringkat antarabangsa.

“Walaupun singkat, beliau berjaya juga membawa pasukan ke final dan itulah yang hebatnya. Kali ini, saya nampak pemain dipanggil begitu berbeza apabila ramai muka baru disenaraikan untuk menentang Oman nanti.

“Perkembangan ini cukup baik kerana pemain muda ini boleh dijadikan sandaran untuk masa depan skuad negara. Berbekalkan dua dan tiga pemain senior seperti Amri Yahya dan Indra Putra Mahayuddin, mereka boleh membimbing pemain lain dalam pasukan,” katanya semalam.

Beliau yang menyuarakan sokongan atas langkah berani Dollah memanggil tujuh pemain bukan daripada skuad Piala AFF 2014 termasuk tiga pemain muda yang tidak pernah menyarung jersi kebangsaan, menggesa pemain dipilih agar mengambil peluang itu untuk menambah pengalaman di peringkat antarabangsa.

“Ini peluang bagi pemain baru untuk buktikan keupayaan mereka. Pembentukan pasukan baru dari sekarang ini berada di landasan tepat dan saya yakin menjelang pusingan kelayakan Piala Asia nanti, kita sudah ada skuad mantap,” katanya.

Tiga pemain baru yang mendapat perhatian Dollah bagi menyertai latihan pusat bermula Rabu lalu adalah Ahmad Syamim Yahya dari FELDA United dan dua pemain Johor Darul Ta’zim II (Johor DT II), Che Rashid Che Halim serta Muhammad Akram Mahinan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2015 @ 7:39 AM