SEBAHAGIAN penyokong Spurs  hadir semasa sidang media sempena  Piala AIA pada 27 Mei  di Saujana Resorts Subang.
SEBAHAGIAN penyokong Spurs hadir semasa sidang media sempena Piala AIA pada 27 Mei di Saujana Resorts Subang.
Oleh Aziman Rosdi

Subang: Kena pinda lagi. Jadual perlawanan Liga Super musim ini mungkin berubah lagi apabila jurulatih Harimau Malaya Dollah Salleh menuntut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberikan ruang sekurang-kurangnya dua minggu bagi mempersiapkan pasukan sebelum mengharungi kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 bermula 11 Jun.

Ketika badan induk bola sepak tanah air itu kerap mencanang jadual liga diatur dengan mengambil kira kepentingan skuad kebangsaan, hakikatnya pengendali skuad negara itu tidak terlepas daripada merungut tempoh latihan singkat menjadi punca Harimau Malaya gagal menyerlah seperti yang berlaku ketika tewas 0-6 kepada Oman pada aksi persahabatan bulan lalu.

“Ini masalahnya, banyak pihak tak faham. Saya hanya dapat mengumpul pemain dua, tiga hari sebelum beraksi dan dalam tempoh itu untuk membentuk pasukan bukan senang.

“Minggu ini saya akan mengadakan perbincangan dengan pegawai FAM untuk melihat sama ada mereka boleh mempercepatkan perlawanan Liga Super supaya dapat memanggil pemain sekurang-kurangnya dua minggu untuk persiapan,” katanya selepas majlis pengumuman perlawanan Piala AIA antara pasukan Pilihan Malaysia dengan kelab Liga Perdana Inggeris Tottenham Hotspur, semalam.

Jika melihat permintaan pengendali berusia 52 tahun itu, kemungkinan dua perlawanan Liga Super pada 2 dan 6 Jun ini terpaksa dipinda bagi memastikan Harimau Malaya mempunyai tempoh latihan mencukupi bagi menentang lawan di pusingan kelayakan yang hanya akan diketahui selepas undian 14 April ini.

Biarpun terpaksa mengharungi tugas getir itu, Dollah tetap melepaskan pemain bawah 23 tahun untuk menyertai skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee beraksi di Sukan SEA 2015 di Singapura bermula 29 Mei ini.

Sebelum ini beliau pernah memanggil dua pemain Johor Darul Ta’zim II (Johor DT II), Akram Mahinan dan Che Rashid Che Halim ketika bertemu Oman yang kini berada dalam senarai skuad B-23 negara.

“Saya kena beri keutamaan kepada Sukan SEA kerana kejohanan itu lebih awal. Saya akan duduk berbincang dengan Kim Swee. Tiada masalah besar kerana kami boleh berunding dan bertolak ansur,” kata Dollah.

Mengulas pertemuan dengan Spurs di Stadium Shah Alam pada 27 Mei ini, Dollah akan menurunkan pemain terbaik Harimau Malaya meskipun menggunakan nama Pilihan Malaysia.

“Ada orang cakap, kenapa saya tak panggil pemain import untuk bertemu Tottenham kerana menggunakan nama Pilihan Malaysia. Tapi ini saja perlawanan saya ada untuk membolehkan pemain menyesuaikan diri dan membentuk pasukan sebagai persiapan menghadapi Kelayakan Piala Dunia.

“Bagi saya aksi dengan Tottenham ini penting kerana kami akan menentang kelab terkenal Eropah dan pemain mereka pasti berada dalam prestasi terbaik ketika bertandang ke Malaysia selepas mengharungi perlawanan terakhir liga pada 24 Mei,” jelas Dollah.

Tottenham, kendalian Mauricio Pochettino akan membuat kunjungan kedua ke negara ini selepas Spurs pernah menewaskan Selangor 4-0 pada aksi persahabatan di Stadium Merdeka pada 1979.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2015 @ 9:24 AM