ROONEY  (kanan) rebahkan badan rai jaringan.
ROONEY (kanan) rebahkan badan rai jaringan.
AFP

Manchester: Pengurus Manchester United Louis van Gaal enggan bercakap mengenai isu pertarungan tinju Wayne Rooney, tetapi beliau pantas memuji persembahan anak buahnya ketika menang 3-0 ke atas Tottenham, semalam.

Sebuah akhbar hujung minggu melaporkan Rooney dijatuhkan oleh bekas pertahanan United Phil Bardsley dalam perlawanan tinju yang sepatutnya dianggap aksi persahabatan di kediaman bintang England itu bulan lalu.

Tetapi, kapten England dan United itu membalas laporan itu dengan melepaskan beberapa tumbukan selain sengaja merebahkan badan di padang seolah-olah dia terkena tumbukan KO ketika menyambut jaringan ketiganya pada aksi menentang Tottenham.

Van Gaal bagaimanapun tidak menganggap isu tinju Rooney itu sebagai sesuatu yang lucu apabila berkata: “Apa faedahnya kita bercakap mengenai soal itu? Akhbar membayar wang yang banyak untuk mendapatkan rakaman perlawanan berkenaan dan saya pula perlu menjawab soalan mengenainya. Saya tidak akan sesekali menjawab persoalan yang tidak ada kena mengena dengan pasukan.”

Begitupun, pengendali Belanda itu memuji ucapan Rooney yang dibuat di depan rakan sepasukan, sehari sebelum mereka mempamer aksi membanggakan untuk mengatasi Tottenham dan kini lima mata di atas pasukan di tangga kelima, Liverpool.

“Pemain sedar perlawanan ini sangat penting dan justeru, seorang kapten perlu melakukan sesuatu untuk membantu pemain, pengurus atau kelab. Saya bangga dengan dia,” kata van Gaal.

“Sudah lama kami menunggu kejayaan seperti ini. Aksi membanggakan ke atas pasukan hebat dan itulah sebabnya mengapa saya gembira.

“Kami bermain sebagai satu pasukan dan apa yang kami pamerkan lebih baik berbanding ketika kami menentang Arsenal. Tidak ada sebarang perkara negatif yang boleh saya katakan terhadap pemain saya.”

“Saingan semakin sengit dan kami kini hanya dua mata di belakang pasukan di tangga kedua. Kami perlu mengambil satu demi satu langkah dan lawan kami selepas ini ialah Liverpool. Saya percaya Manchester United tidak selalu menang perlawanan di Liverpool.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2015 @ 5:20 AM