Oleh Azlan Hafeedz


Kota Bharu: “Awasi Indra Putra Mahyuddin jika kita tidak mahu merana,” pesan penyerang Kelantan, Norfarhan Muhammad menjelang aksi menentang FELDA United, esok.

Sebagai rakan karib Indra Putra dan pernah beraksi dalam pasukan sama beberapa tahun, Norfarhan yang juga Penyerang Terbaik 2014 mengakui aksi lincah pemain itu sukar diramal.

“Dia mempunyai kepakaran tersendiri, bijak menghidu pergerakan pemain lawan dan mampu memberi ancaman. Jika tidak dirantai, saya bimbang impian untuk menang tidak kesampaian.

“Selain Indra Putra, pemain lain seperti Muhammad Shukor Adan, Mohd Nasriq Baharom serta tiga import mereka, Edward Junior Wilson, Makeche Ndumba dan Zah Rahan Krangan juga perlu diawasi,” katanya.

Bagaimanapun, Norfarhan berkata, jurulatih George Boateng sudah memiliki perancangan tersendiri menjelang pertemuan di Stadium Sultan Muhammad IV itu.

Mengenai kedudukannya, pemain yang baru pulih daripada kecederaan buku lali itu menyerahkan sepenuhnya kepada Boateng untuk menentukan.

“Saya pasti jurulatih lebih arif. Pertembungan dengan FELDA United tentu menarik, tapi kami memiliki kelebihan kerana bermain di tempat sendiri. Peluang kami lebih cerah,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Datuk Ismail Md Noor berkata, jualan tiket di kaunter stadium akan dipindahkan ke Wisma KAFA di Kampung Chicha, Kubang Kerian untuk sementara waktu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2015 @ 10:25 AM