PEMAIN Chelsea menjalani laihan menjelang pertemuan dengan PSG.
PEMAIN Chelsea menjalani laihan menjelang pertemuan dengan PSG.
AFP

Paris: Selepas berehat pada hujung minggu, Chelsea menyambung usaha memburu kegemilangan Liga Juara-Juara apabila berdepan Paris Saint-Germain (PSG) yang dibelenggu kecederaan pada aksi pertama pusingan kedua di Parc des Princes, awal pagi esok.

Kekalahan mengejut di tangan kelab divisyen tiga Bradford City bulan lalu bermakna anak buah Jose Mourinho tidak terbabit pada aksi pusingan kelima Piala FA hujung minggu lalu dan mereka menyaksikan PSG mengalami persiapan terburuk bagi satu daripada perlawanan glamor pusingan itu.

“Rehat ini memang dialu-alukan. Mereka beraksi satu perlawanan, tapi kami tidak. Ia hanya lebih satu perlawanan, tapi kami amat gembira kerana pemain mendapat rehat,” kata Mourinho sebelum mengetahui apa yang berlaku pada pertemuan PSG dan Caen.

Juara Perancis itu kehilangan Yohan Cabaye, Marquinhos, Serge Aurier dan Lucas kerana kecederaan otot pada aksi Ligue 1 di laman sendiri, menyebabkan mereka berakhir dengan sembilan pemain dan seri 2-2 selepas dibolosi dua gol lewat.

Jurulatih PSG Laurent Blanc kemudian mengakui empat pemain itu hampir pasti tidak diturunkan pada perlawanan ulangan dengan Chelsea yang menang pertemuan suku akhir pertandingan sama tahun lalu.

Dengan Blaise Matuidi mengalami lebam pada perlawanan sama dan Javier Pastore belum pulih daripada kecederaan betis, kapten PSG Thiago Silva merungut prospek pasukannya di Eropah tidak dibantu pemimpin bola sepak Perancis.

“Liga ini patut menjaga kami,” kata Silva. “Pemimpin bola sepak Perancis patut memikirkan lebih sedikit mengenai PSG, begitu juga Monaco yang bertemu Arsenal.

“Amat perit bermain setiap tiga hari. Bagi aksi istimewa seperti menentang Chelsea, perlawanan menentang Caen sepatutnya diubah bagi membolehkan kami bersedia dengan lebih baik.”

Silva berada dalam pasukan PSG yang menundukkan Chelsea 3-1 di Parc des Princes pada suku akhir pertama tahun lalu, apabila rakan senegaranya David Luiz menjaringkan gol sendiri.

Namun, jaringan Andre Schuerrle dan Demba Ba membantu Chelsea menang 2-0 pada perlawanan timbal balik sekali gus mara menerusi peraturan gol di tempat lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 8:05 AM