VETTEL (baju merah) hormat Raikkonen.
VETTEL (baju merah) hormat Raikkonen.

Melbourne: Juara dunia empat kali, Sebastian Vettel menolak kebimbangan dia akan bertelagah dengan rakan sepasukan baru Kimi Raikkonen selepas perpindahannya ke Ferrari musim ini.

Vettel berpindah dari Red Bull selepas dia bergelut di belakang pemandu Australia, Daniel Ricciardo ketika Mercedes mendominasi dengan kedua-dua kejuaraan pemandu dan pengeluar tahun lalu.

Pemandu Jerman itu pernah bermasalah dengan rakan sepasukan sebelum ini terutama pemandu Australia, Mark Webber namun dia yakin tidak berdepan sebarang isu dengan Raikkonen.

“Secara jujur, tidak. Saya sudah lama kenal Raikkonen. Saya fikir kami saling menghormati, dia seorang yang berterus terang, jujur dan saya menghargainya,” kata Vettel mengenai pemandu Finland itu.

“Sudah tentu kami akan cuba mengatasi satu sama lain di litar, tapi jika ada sebarang isu, kami sudah cukup matang untuk bercakap mengenainya dan menyelesaikannya.”

Menjelang penampilan sulungnya bersama Ferrari pada perlumbaan pembuka tirai musim Grand Prix Australia, Vettel menjelaskan pasukan Itali itu meningkat berbanding tahun lalu apabila mereka berakhir di tangga keempat kategori pengeluar.

“Secara umum suasana di sini amat positif. Jelas, banyak perubahan dilakukan ketika musim sejuk, tapi setiap orang bekerja keras dan kami pastinya meningkat sebagai satu pasukan,” ujarnya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2015 @ 9:51 AM