LECLERC memecut laju ketika sesi ujian pramusim di Litar de Barcelona-Catalunya. — FOTO Reuters
LECLERC memecut laju ketika sesi ujian pramusim di Litar de Barcelona-Catalunya. — FOTO Reuters
AFP

CHARLES Leclerc menegaskan dia tidak bimbang dengan tekanan yang akan dihadapinya ketika dia cuba membantu Ferrari menamatkan kemarau kejuaraan Formula Satu yang kini berlanjutan lebih sedekad.

Pemandu dari Monaco berusia 21 tahun itu memulakan musim sulung bersama pasukan pengeluar Itali itu selepas meninggalkan Sauber bagi menggantikan Kimi Raikkonen, pelumba terakhir menang gelaran dunia kategori pemandu bersama Ferrari pada 2007.

Selepas mencatat masa terpantas pada hari kedua minggu pertama ujian pramusim di Barcelona, Leclerc menafikan jangkaan pada kempen kali ini yang menyaksikan dia bergandingan dengan juara dunia empat kali, Sebastian Vettel, bintang Jerman yang 10 tahun tua berbandingnya.

“Saya cuba untuk tidak memikirkannya. Penting saya hanya fokus terhadap diri sendiri, tugas yang saya perlu lakukan dalam dan di luar litar dengan jurutera tanpa memikirkan jangkaan orang terhadap saya,” kata Leclerc.

“Sejak saya berada di litar saya sudah buat kerja yang agak bagus, saya cuba ketepikan perasaan saya.”

Leclerc berkata, adalah satu cabaran untuk meningkat daripada petak pertengahan bersama Sauber, pasukan disertainya pada 2018, ke Ferrari yang memiliki 16 gelaran pengeluar dan 15 mahkota pemandu.

Anugerah pengeluar terakhir dimenangi Ferrari adalah pada 2008, setahun selepas kejayaan Raikkonen.

Leclerc percaya Ferrari memiliki jentera dan pemandu untuk menggugat penguasaan Mercedes yang meraih lima kejuaraan terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 11:01 AM