Dr Mahani Nordin menunjukkan anugerah Tun Dr Siti Hasmah yang diterima pada Majlis Gala Reben Merah Sunway - Yayasan AIDS Malaysia di Hotel Hilton kerana pembabitannya membantu pesakit HIV/AIDS. FOTO ZAID SALIM
Dr Mahani Nordin menunjukkan anugerah Tun Dr Siti Hasmah yang diterima pada Majlis Gala Reben Merah Sunway - Yayasan AIDS Malaysia di Hotel Hilton kerana pembabitannya membantu pesakit HIV/AIDS. FOTO ZAID SALIM
Oleh Zaid Salim


Kuala Terengganu: "Ketika diumumkan sebagai penerima anugerah, saya terpinga-pinga dan kelu selepas diminta Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin untuk membuat ucapan," kata Dr Mahani Nordin @ Kamarudin, 49.

Dr Mahani yang juga Ketua Penolong Pengarah Kanan (HIV/Pengurusan Pesakit Kelamin/Hepatitis C) di Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menerima Anugerah Tun Dr Siti Hasmah Sunway-Yayasan Aids Malaysia (MAF) 2021 pada Majlis Gala Reben Merah di Kuala Lumpur Jumaat lalu kerana keikhlasannya membantu penagih dadah khususnya yang dijangkiti HIV/AIDS sejak 2009.

Pengasas Komuniti Cakna Terengganu itu berkata, dia tidak pernah terfikir untuk menerima pengiktirafan setinggi itu sejak terbabit dalam membantu masyarakat dijangkiti HIV dan AIDS meneruskan kehidupan.

"Pembabitan awal saya adalah sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendekati pesakit berkenaan yang dilakukan dengan ikhlas di samping bertujuan membina kehidupan baru golongan yang sering dipandang serong oleh masyarakat dan langsung tidak pernah terfikir tentang anugerah.

"Bagaimanapun anugerah ini menjadi pembakar semangat untuk saya terus mendekati golongan ini," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Dr Mahani yang juga anak jati Ajil, Kuala Berang, Hulu Terengganu itu membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, trofi dan sijil penghargaan.

Menurutnya, pembabitannya dalam kerja amal bermula atas dasar simpati dengan nasib golongan menghidap HIV dan AIDS yang dibuang keluarga selepas selesai menjalani rawatan di hospital.

Katanya, mereka tiada tempat berteduh dan tiada yang peduli dengan nasib hingga ada yang terpaksa hidup bergelandangan ddi hentian bas, bawah jambatan dan bangunan terbiar.

Ketika itu katanya, kebanyakan pesakit HIV dan AIDS di Terengganu terpaksa dihantar ke pusat rawatan dan perlindungan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Justeru, sebagai individu yang ada hubung kait rapat dengan golongan berkenaan ketika di hospital, dia memasang impian mahu menyediakan sebuah rumah perlindungan untuk golongan terbabit.

"Melalui suntikan dana Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu, saya menubuhkan menubuhkan Baitul Cakna di atas tanah sendiri seluas 0.4 hektar di Ajil, Hulu Terengganu pada 2010," katanya.

Pembinaan Baitul Cakna dengan bantuan kewangan daripada Maidam dan beberapa pihak lain yang prihatin adalah bukti betapa seriusnya Dr Mahani dalam membantu golongan berkenaan tanpa mengenakan sebarang yuran.

Menurut Dr Mahani, peringkat permulaan hanya empat penagih dadah ditempatkan di Baitul Cakna dan bagi menampung kos pengurusan, beliau bekerjasama dengan Jabatan Pertanian Terengganu untuk membimbing penghuni melakukan aktiviti penanaman sayuran dan tanaman kontan.

"Selain itu, saya turut mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang memantau dan menganjurkan pelbagai program bersama penghuni di rumah perlindungan itu," katanya.

Kini dia lega dan bersyukur kerana sejak penubuhan Baitul Cakna, semakin banyak pihak yang membuka mata dalam membantu golongan berkenaan memulakan kehidupan baharu serta mengurangkan stigma negatif masyarakat terhadap mereka.

Pada 2017, beliau berjaya meyakinkan Kerajaan Negeri Terengganu untuk mendapatkan tanah seluas empat hektar di Kampung Pelandan, Hulu Terengganu untuk dijadikan cawangan kedua.

Menurutnya, di Kampung Pelandan beberapa bangunan dibangunkan sebagai rumah perlindungan bagi menempatkan penghuni lelaki, wanita dan kanak-kanak serta turut dilengkapi surau, bengkel jahitan dan bengkel penyediaan cili boh sebagai sumber kewangan.

"Pada 2018, cawangan ketiga diwujudkan di Kampung Jambu Bongkok, Marang, juga menggunakan pendekatan sama dari segi pemulihan rohani dan emosi membabitkan kerjasama polis, AADK, Kementerian Kesihatan dan komuniti setempat," katanya.

Dr Mahani berkata, sehingga kini, terdapat seramai 70 penghuni di tiga rumah perlindungan itu dan kebanyakan mereka yang sudah pulih daripada ketagihan dadah kini berkhidmat secara sukarela untuk membantu penghuni baharu.

Terkini, Dr Mahani turut berjaya membantu kerajaan negeri untuk memulihkan bekas penagih dadah melalui perkampungan khas yang dikenali sebagai Darul Barokah di Marang yang dilengkapi rumah dan beberapa projek ekonomi berskala kecil dan sederhana untuk membantu mereka.

"Harapan saya hanya satu iaitu supaya golongan ini mampu menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara.

"Tangisan gembira bekas penagih dan ahli keluarga mereka sebaik dapat memulakan kehidupan baharu adalah kebahagiaan buat saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 2:26 PM