DR Siti Hasmah (dua kiri) bersama Fadzilah (tengah) sempena Malam Gala Aids 2018 di Kuala Lumpur, malam ini. Foto MUHD ZAABA ZAKERIA
DR Siti Hasmah (dua kiri) bersama Fadzilah (tengah) sempena Malam Gala Aids 2018 di Kuala Lumpur, malam ini. Foto MUHD ZAABA ZAKERIA
Manirajan Ramasamy dan Mohd Iskandar Ibrahim


TUN Dr Mahathir Mohamad menggesa majikan di negara ini supaya tidak mendiskriminasi dan memberi stigma buruk terhadap pekerja yang dijangkiti HIV.

Perdana Menteri berkata, majikan perlu mencontohi PETRONAS kerana memiliki dasar tempat kerja yang mesra pekerja dijangkiti HIV seperti diamalkan di peringkat antarabangsa.

“HIV memberi impak langsung kepada perniagaan dan amat penting untuk Malaysia mewujudkan dasar dalam memberi sokongan kepada individu yang dijangkiti penyakit itu.

“Ini kerana statistik menunjukkan 89 peratus orang yang dijangkiti HIV di negara ini terdiri daripada golongan pekerja,” katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Gala Anugerah Tun Dr Siti Hasmah 2018 di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman dan Patron Yayasan AIDS Malaysia Datin Paduka Marina Mahathir.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, beberapa Menteri Kabinet juga ada menyuarakan kepada beliau perlunya undang-undang dan peraturan bagi menghalang sebarang bentuk diskriminasi terhadap pekerja yang dijangkiti HIV.

“Inisiatif oleh Konsortium Perniagaan Malaysia bersama Yayasan AIDS Malaysia untuk mewujudkan peraturan melindungi pekerja yang dijangkiti HIV perlu diberi perhatian

“Ini kerana stigma dan diskriminasi terhadap HIV menyebabkan golongan itu berasa takut dan malu menyebabkan mereka enggan menjalani ujian bagi mengesan penyakit itu dengan lebih awal,” katanya.

Justeru, beliau berkata, pemegang taruh dan orang awam perlu bersama memainkan peranan memberi penerangan kepada masyarakat bagi membendung HIV.

Pada majlis itu, bekas jururawat, Fadzilah Abdul Hamid diiktiraf sebagai penerima Anugerah Tun Dr Siti Hasmah 2018 atas sumbangannya membantu lebih 400 pesakit HIV/AIDS terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.

Beliau turut membantu membuka dan menguruskan rumah perlindungan Rumah Solehah yang ditubuhkan Persatuan Perubatan Islam Malaysia dengan sokongan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak 20 tahun lalu.

Fadzilah, 68, membawa pulang trofi, sijil dan wang tunai sebanyak RM10,000 yang disampaikan sendiri oleh isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Disember 2018 @ 10:10 PM