LEWIS Hamilton. FOTO AFP
LEWIS Hamilton. FOTO AFP
Agensi

London: Nico Rosberg memuji bakat semula jadi luar biasa Lewis Hamilton dan percaya bintang Britain itu mengatasi Michael Schumacher selaku pemandu terbaik sepanjang zaman di pentas Formula Satu (F1).

Hamilton, 36, sedang berusaha untuk mengatasi rekod juara dunia tujuh kali miliknya bersama Schumacher dan ketika ini ketinggalan enam mata berbanding seteru utama dari Red Bull, Max Verstappen menjelang pusingan perlumbaan di Grand Prix Amerika Syarikat (AS) minggu ini.

Pemandu Britain itu sebelum ini sudah memadam semua rekod dan memenangi perlumbaan ke-100 musim ini namun memenangi kejuaraan dunia kali kelapan akan meletakkannya selaku pemandu terhebat berbanding yang lain.

Rosberg yang pernah sepasukan bersama Hamilton dan Schumacher ketika di Mercedes percaya bakat semula jadi Hamilton akan menyaksikannya selaku pemandu paling hebat.

"Lewis mempunyai bakat semula jadi," katanya kepada Motorsport-Total.

"Jika melihat kepada bakat, dia mungkin yang paling terbaik sepanjang zaman."

Bagaimanapun Rosberg mengakui komitmen Schumacher terutamanya ketika sesi ujian jentera jauh lebih baik berbanding Hamilton.

"Lewis benci sesi ujian. Dia tidak gemar sesi seperti itu.

"Michael pula akan menjalani sesi ujian setiap hari meskipun dia adalah juara dunia tujuh kali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 2:17 PM