Kemalangan yang mengorbankan dua nyawa, termasuk anggota polis. FOTO Rosliza Mohamed
Kemalangan yang mengorbankan dua nyawa, termasuk anggota polis. FOTO Rosliza Mohamed
Oleh Rosliza Mohamed

Kota Bharu: Seorang anggota polis berusia 58 tahun yang dalam perjalanan untuk bertugas di Balai Polis Pengkalan Chepa, di sini maut selepas terbabit kemalangan di Batu 8 Kadok, Jalan Kuala Krai dekat Ketereh, 6.45 pagi tadi.

Kemalangan itu turut mengakibatkan seorang lagi penunggang motosikal berusia 22 tahun meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, manakala seorang lagi yang belum dikenal pasti identiti, cedera.

Ketika kejadian Koperal Abdullah Ishak, 58, dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Hutan Putih, Machang untuk bertugas.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, mangsa keluar dari rumahnya kira-kira 5 pagi.

Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal dinaiki mangsa dipercayai bertembung dengan motosikal ditunggang seorang lagi mangsa Muhammad Shahiran Jamri, 22.

Mayat Abdullah yang parah di kepala dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat, sementara Muhammad Shahiran di HRPZ II dan meninggal dunia ketika dirawat.

"Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk seorang lagi mangsa yang dipercayai cedera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2015 @ 1:45 PM