APL DE AP tarik penonton dengan menyanyikan lagu dalam bahasa Tagalog.
APL DE AP tarik penonton dengan menyanyikan lagu dalam bahasa Tagalog.
KEHADIRAN Naughty By Nature begitu dinantikan.
KEHADIRAN Naughty By Nature begitu dinantikan.
ABRA hebat melakukan aksi rapper.
ABRA hebat melakukan aksi rapper.
Syanty Octavia Amry

(Yang dibawa MTV Asia membuat liputan konsert MTV Music Evolution Manila, Hip Hop 2015 di Manila, Filipina, baru-baru ini)

Kehadiran pelbagai genre muzik sekarang sedikit pun tidak melenyapkan muzik hip hop yang mula popular sejak 1980-an.

Tidak hanya di Malaysia, negara Asia Tenggara seperti Filipina juga turut melalui situasi yang sama di mana penyanyi hip hop mereka semakin menjadi kegilaan ramai.

Contohnya Abra dan Gloc-9 yang kerap memenangi anugerah di negara berkenaan.

Justeru, bagi mengangkat muzik hip hop, MTV Asia buat pertama kalinya menganjurkan konsert hip hop terbesar di Filipina iaitu MTV Music Evolution Manila Hip Hop 2015 yang berlangsung di Rizal Park, Manila, baru-baru ini.

Menampilkan penyanyi hip hop terkenal Filipina seperti Abra dan Gloc-9, konsert berkenaan turut diserikan dengan kumpulan hip hop Amerika Syarikat seperti Naughty By Nature, YG, DJ Cash Money dan anggota kumpulan Black Eyed Peas, Apl De Ap yang juga anak kelahiran Filipina.

Populariti mereka menyaksikan konsert yang bermula pada jam 7.20 malam itu dihadiri hampir 22,000 penonton. Ia bermula dengan persembahan Gloc-9, Abra, Apl De Ap yang mewakili Filipina.

Ia diserikan pengacara dan penyampai MTV Filipina seperti Yassi Pressman dan Chris Schneider serta penyampai MTV Asia Singapura, Alan Wong dan Hanli Hoefer.

Tampil dengan lima lagu popularnya, Gloc-9 turut mempersembahkan lagu Upuan dan Sumayaw Ka yang kian popular dalam kalangan peminat hip hop Filipina.

Kehadiran Abra juga turut dinanti-nantikan apabila dia dilihat begitu hebat mempersembahkan nyanyian rap yang memukau penonton.

Kemunculan Apl De Ap sememangnya dinantikan. Dilahirkan di negara berkenaan, Apl yang mendendangkan lagu-lagu Black Eyed Peas begitu menarik perhatian penonton.

Apl turut berduet dengan Abra menyanyikan lagu popular Black Eyed Peas pada 2003 iaitu Where Is The Love.

Hip hop yang sinonim dengan DJ diserikan dengan persembahan daripada DJ Cash Money. Tampil pula rapper yang menggunakan nama pentasnya, YG menghiburkan penonton dengan lagu-lagu popularnya.

Seperti dinanti-nantikan kehadiran mereka di pentas MTV malam itu, persembahan Naughty By Nature tidak mengecewakan penonton.

Menutup tirai persembahan, mereka tampil dengan lagu-lagu hits sehingga penonton begitu bersahaja menyanyi sambil menari mengikuti lagu yang dipersembahkan kumpulan yang dianggotai oleh Treach, Vin Rock dan DJ Kay Gee itu.

Naughty By Nature cukup popular sejak era 1990-an dengan lagu-lagu seperti O.P.P, Hip Hop Hooray dan Feel Me Now.

Pertama kali dianjurkan dan pemilihan Manila nyata tidak sia-sia sebagai lokasi pertama konsert MTV Music Evolution tahun ini.

Walaupun jemputan penyanyi tidak ramai, enam artis yang tampil membuat persembahan kelihatan cukup memberi kepuasan buat penonton.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2015 @ 11:12 AM