Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpu: Tourism Malaysia menjangkakan sektor pelancongan Malaysia mampu menyumbang lebih 11 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini berbanding sasaran 11 peratus yang diletakkan pada tahun lalu bersandarkan aktiviti yang mampu menarik kedatangan pelancong asing dan tempatan serta faktor kelemahan mata wang ringgit.

Tahun lalu, statistik kedatangan pelancong asing dan domestik di Malaysia disasarkan masing-masing 28 juta dan 160.5 juta. Namun, pencapaian angka sebenar tidak dapat diumumkan ketika ini memandangkan ia masih di peringkat akhir penilaian.

Pengarah Pemasaran Domestik Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Datuk Musa Yusof berkata, tahun ini jumlah pelancong domestik dijangka berkembang kepada 168.5 juta orang dengan jumlah perbelanjaan mencecah RM59.5 bilion. Manakala, pelancong asing dijangka mencecah 29.4 juta orang dengan nilai perbelanjaan RM89 bilion.

Beliau berkata, perkiraan kemasukan pelancong tempatan adalah bagi mereka yang bermalam saja, sekali gus dapat merekodkan perbelanjaan mereka secara kasar.

“Walaupun situasi ekonomi mencabar ketika ini, aktiviti pelancongan masih menjadi perkara yang dilakukan orang ramai dan ia menjadi sektor utama di Asia Pasifik.

“Malah, pemain industri ini juga agresif menawarkan pelbagai pakej menarik yang boleh menarik lebih ramai kunjungan pelancong sama ada domestik atau asing,” katanya.

Tahun lalu, setakat Januari hingga Oktober, bilangan pelancong asing ke Malaysia dicatatkan seramai 22.9 juta orang berbanding 20.9 juta pada keseluruhan 2013, meningkat 9.6 peratus.

Manakala, sasaran ketibaan pelancong asing ke Malaysia pada 2020 sejumlah 36 juta dengan nilai perbelanjaan mencecah RM168 bilion.

Musa berkata, kelemahan ringgit memberi kesan positif kepada sektor pelancongan memandangkan pelancong asing akan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan mereka atas faktor kos perbelanjaan lebih rendah berbanding negara lain.

Katanya, dengan pelaksanaan Persidangan ASEAN 2015 yang menjadikan Malaysia sebagai tuan rumah sudah mempromosikan lokasi menarik tempatan kepada pelawat asing.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2015 @ 5:23 AM