Mohamaddin melambai tangan kepada orang ramai pada Malam Penutup Festival Kesenian Rakyat Kelate 2019 malam tadi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mohamaddin melambai tangan kepada orang ramai pada Malam Penutup Festival Kesenian Rakyat Kelate 2019 malam tadi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Nor Hidayatidayu Razali


KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya mensasarkan pendapatan RM192 bilion dengan jumlah kedatangan pelancong asing dan domestik tahun hadapan.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, pendapatan itu dapat dicapai apabila kedatangan pelancong luar disasarkan 30 juta orang ke negara ini yang dapat menyumbang RM100 bilion, manakala pelancong tempatan RM92 bilion.

Katanya, kemasukan pelancong luar dan domestik antara negeri ke negeri lain membantu meningkatkan pendapatan.

“Ia sekali gus dapat menyumbang kepada pendapatan negara yang sangat tinggi.

“Sasaran ini dapat dicapai hasil kerjasama semua kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan untuk menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Perasmian Malam Penutup Festival Kesenian Rakyat Kelate 2019 di Pantai Geting, Kota Bharu malam tadi.

Mengulas lanjut beliau berkata, bagi Kelantan, pihaknya mensasarkan jumlah kedatangan pelancong 5.5 juta tahun ini dan yakin dapat mencapainya kerana dalam tempoh Januari hingga April lalu merekodkan 1.09 juta pelancong masuk ke negeri itu.

“Ia dapat dicapai apabila berlaku kemasukan pelancong dari Singapura dan Thailand ke negeri ini hasil daripada pelbagai promosi yang dijalankan.

“Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, 4.7 juta pelancong domestik berkunjung ke Kelantan dan Tourism Malaysia merekodkan lebih 54 ribu pelancong asing menginap di hotel di negeri ini tahun lalu.

“Bagi tempoh Januari hingga Mac lalu, berlaku peningkatan 2.7 peratus penginapan hotel berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, Kelantan mempunyai destinasi popular untuk dilawati termasuk Pasar Besar Siti Khadijah, Pasar Wakaf Che Yeh, Dataran Kota Ismail Petra dan Istana Jahar, selain terkenal dengan kesenian seperti Mak Yong yang mendapat pengiktirafan dunia di bawah Master-Piece Of The Oral And Intengible Heritage Of Humanity oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2015.

Beliau juga berharap penggiat seni budaya dan pelancongan dapat menggembling usaha secara bersama dengan agensi berkaitan bagi mencapai hasrat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 9:30 AM