RASHIDI dan Haslina pada majlis Pelepasan Program Six Nation Ride Indochina Asean Adventure Touring Malaysia. FOTO Aziah Azmee
RASHIDI dan Haslina pada majlis Pelepasan Program Six Nation Ride Indochina Asean Adventure Touring Malaysia. FOTO Aziah Azmee
Hidayatul Akmal Ahmad


PENGUATKUASAAN larangan merokok di premis makanan sejak 1 Januari lalu tidak menjejaskan kedatangan pelancong di negara ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MoTAC), Datuk Rashidi Hasbullah berkata, ini kerana pelancong asing

mematuhi segala larangan dan peraturan negara dilawati.

"Larangan merokok di sesetengah tempat tidak akan menjejaskan sektor pelancongan berikutan pelancong asing akur akan setiap peraturan yang ditetapkan di sesebuah negara.

"Angka dan kedudukan sektor pelancongan negara akan terus dipertingkatkan dari tahun ke tahun khususnya bagi mengekalkan dan menambahbaik kedudukan Malaysia sebagai sebuah daripada 10 destinasi pelancongan terbaik dunia," katanya pada majlis Pelepasan Program Six Nation Ride Indochina Asean Adventure Touring Malaysia (ATM) di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Rashidi, tahun lalu, 26.4 juta pelancong asing melawat negara ini dengan menjana pendapatan sebanyak RM84.9 bilion.

"Tahun ini kementerian mensasarkan sejumlah 28.1 juta pelancong asing akan melawat Malaysia dengan menjana pendapatan sebanyak RM92.2 bilion.

"Pada 2020, kementerian mensasarkan 30 juta pelancong asing melawat negara ini seterusnya menjana pendapatan negara sebanyak RM100 bilion," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Ekspidisi ATM, Abi Khalid Abdul Samad berkata, konvoi ATM adalah salah satu kempen mempromosikan Malaysia secara lebih dekat.

ATM adalah konvoi bermotor membabitkan lapan peserta. Ia memakan masa 14 hari bermula hari ini. Peserta menggunakan motosikal berkuasa di bawah kuasa 200 cc, termasuk motorsikal buatan tempatan Modenas. Mereka akan melalui jalan darat menerokai Malaysia, Thailand, Laos, Boten (Sempadan China), Mynmar dan Kemboja.

Abi Khalid berkata, cabaran yang mereka hadapi ialah kerana menggunakan motor kecil dengan kelajuan terhad.

Namun katanya mereka melalui sesi latihan kecerdasan kira-kira tiga minggu sebelum program berlangsung bagi meningkatkan stamina peserta.

“Kami akan memastikan kesihatan kami dijaga dengan baik terbaik termasuk cukup tidur dan menjaga makan,” katanya.

Selain melawat kedutaan negara dijelajahi, Abi Khalid berkata mereka membawa bersama juadah sejuk beku tempatan seperti nasi lemak untuk dinikmati bersama masyarakat di negara mereka kunjungi kelak.

Konvoi itu membabitkan perjalanan sejauh kira-kira 7,200 kilometer (KM).

Mengulas berhubung kos, Abi Khalid berkata, ia membabitkan kira-kira RM48,000, yang diperoleh menerusi simpanan peserta dan tajaan beberapa pihak.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Datuk Haslina Abdul Hamid.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 10:32 PM