RUANG kokpit pemandu yang sarat dengan butang kawalan.
RUANG kokpit pemandu yang sarat dengan butang kawalan.
CERMIN pintu tanpa bingkai.
CERMIN pintu tanpa bingkai.
DIPADANKAN dengan ciri Air Breathers dan Air Curtains bahagian depan kereta.
DIPADANKAN dengan ciri Air Breathers dan Air Curtains bahagian depan kereta.
TAMPIL kelainan dalam reka bentuk dan sarat teknologi termaju.
TAMPIL kelainan dalam reka bentuk dan sarat teknologi termaju.
Oleh Badrila Jamlus


Tanggapan pertama yang bermain di fikiran apabila menerima mesej dari BMW Malaysia Sdn Bhd untuk memandu uji model terbarunya BMW 4 Series Gran CoupéÈ ialah, ia sebuah model dua pintu bercirikan lebih sporty de­ngan sedikit kesukaran kepada penumpang belakang untuk menaikinya.

Namun, tanggapan penulis terus berubah apabila model yang dimaksudkan itu sebenarnya versi empat pintu atau dalam bahasa lebih mudah, ia sebuah hatchback lima pintu seakan-akan model BMW320 Gran Turismo yang pernah dipandu uji sebelum ini.

Sebagai keluarga terbaru BMW dalam varian 4 Series, pengeluar kereta dari Jerman ini dilihat berani dalam mengetengahkan sebuah coupe yang sporty, sekali gus mencabar maksud sebenar ‘coupe’ yang menjadi trend kepada beberapa pengeluar kereta Eropah lain yang berlumba-lumba memperkenalkan kereta jenis ini di pasaran.

Kereta kompak sedan eksekutif coupe empat pintu yang pertama diperkenalkan BMW itu menawarkan ruang dalaman lebih luas berbanding coupe sebenarnya yang lebih dikenali dengan model tiga pintu.

Model itu menampilkan gaya elegan, sporty dan kecanggihan dinamik dalam segmen pertengahan yang sesuai kepada pelanggan yang mahu tampil kelainan pada gaya tersendiri dengan ciri-ciri terbaik dalam rekaan dalaman serta luaran.

Yang pasti, ciri paling berbeza pada model itu ialah pintu tanpa bingkai yang menyerlahkan karakteristik tersendiri BMW 4 Series Gran Coupé ini berbanding model lain yang sebaris dengannya dan garis lekuk badan kenderaan itu yang menampilkan lagi gaya maskulin sebenar.

Sinonim dengan identiti BMW, ruang kokpit pemandunya padat, namun kerusi penumpang depan jenis sporty mendakap kemas, apatah lagi ketika penulis melayan selekoh tajam dan memandu dalam kelajuan tinggi di lebuh raya. Apa yang menarik juga, kerusi saduran kulit jenis Dakota hitam dengan garisan jahitan benang merah menyerlahkan lagi gaya eksklusif model ini.

Meskipun jentera empat roda ini menggunakan konsep coupe, ia menawarkan ruang kepala lebih luas untuk semua tempat duduk, terutama demi keselesaan penumpang belakang dan ruang kargo lebih luas dengan kapasiti keseluruhan sebanyak 480 liter, 35 liter lebih besar berbanding model coupe dua pintu.

Selain itu, model itu dipadankan ciri but belakang yang boleh dibuka secara automatik iaitu tanpa sentuhan menerusi sistem Comfort Access iaitu membuka dengan ha­nya memerlukan pergerakan kaki di bahagian bawah bampar belakang. Jika dikawal dari dalam, pemandu boleh menekan butang but yang terletak ke bawah berhampiran butang membuka but depan.

Untuk menutupnya tidak mempunyai masalah dengan hanya menekan butang di sisi kanan dan but akan ditutup secara automatik dalam beberapa saat menggunakan sistem hidrolik. Ada juga dua ruang khas disediakan di dalam but ini dan jaring khas untuk membawa barangan yang mudah bergolek adalah satu faktor kelebihan kepada kereta ini.

Sebagaimana kita sedia maklum, kebanyakan kereta mewah sekarang tidak mempunyai ruang tayar simpanan kerana tayar digunakan adalah jenis ‘run flat tyre’ iaitu teknologi terbaru di mana tayar berkenaan masih boleh bergerak pada kelajuan rendah meskipun sudah pancit menerusi satu lapisan khas yang menyokong pergerakannya dan indikator keadaan tayar juga boleh diperoleh pada paparan skrin kereta ini.

Bagi meningkatkan aspek aerodinamik yang membantu menjimatkan bahan api dan mengurangkan seretan angin, reka bentuk BMW 428i Gran Coupé ini dipadankan dengan ciri Air Breathers yang tersendiri pada pelindung roda depan serta ciri Air Curtains pada hujung bahagian kiri dan kanan depan kereta.

Menjenguk ke dalam ruang enjinnya, model itu dilengkapi enjin petrol empat silinder bersesaran 2.0 liter yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 180 kW/245hp dan tork maksimum 350Nm, sekali gus boleh memecut dari 0 hingga 100km/j dalam tempoh 6.1 saat dengan kelajuan maksimum 250km/j.

Meskipun menggunakan enjin 2.0 liter, ia merekodkan penggunaan bahan api yang rendah iaitu 6.6 liter bagi setiap 100km dan emisi CO2 luar biasa, 154 gram bagi setiap 100 kilometer dengan dibantu oleh sistem henti/mula yang berfungsi seakan-akan sebuah enjin hibrid yang mana enjin berhenti apabila brek ditekan ketika berada di lampu isyarat.

Dilengkapi rangkaian penuh teknologi BMW EfficientDynamics, BMW 428i Gran Coupé dibina untuk menawarkan kecekapan, dinamik dan keselesaan luar biasa. Dengan transmisi Steptronic lapan kelajuan automatik dan sistem navigasi professional, ciri tambahan BMW EfficientDynamics termasuk Driving Experience Control dengan mode ECO PRO dan fungsi Coasting.

Satu ciri baru yang dipadankan ialah penukaran gear untuk mode Sport dan Comfort dengan data daripada sistem navigasi dibekalkan kepada unit kawalan transmisi bagi membolehkan penukaran gear dibuat untuk disesuaikan dengan keadaan jalan raya di depan.

Bagi keselesaan pemandu atau penumpang depan, model ini dipasang dengan panel instrumen bulat seakan-akan sebuah ‘tetikus’ dan sistem kawalan iDrive termaju yang berfungsi mengawal skrin monitor serta iDrive dengan Touch Controller.

Semua sistem kawalan itu dihubungkan dengan BMW ConnectedDrive yang merangkumi sambungan Bluetooth, aplikasi BMW dan BMW Live yang dipertingkatkan.

Namun, penulis terkilan kerana kereta ini tidak dipadankan dengan sistem kamera undur sebaliknya menggunakan sistem grafik sensor, manakala bahagian pemegang tangan digantikan dengan cang­kuk sesuai untuk menggantung sehelai jaket.

Model itu didatangkan dalam warna putih, merah, perak, kelabu dan Jatoba Metalik manakala warna tambahan seperti hitam dan biru adalah eksklusif untuk varian BMW 428i Gran Coupé M Sport.

Harga jualan anggaran di atas jalan, tidak termasuk insurans dengan BMW Service + Repair Inclusive (BS+RI) untuk BMW 4 Series Gran Coupé adalah RM389,800 dan BMW 428i Gran Coupé M Sport (RM418,800).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2015 @ 5:02 AM