BMW M8 Coupe.
BMW M8 Coupe.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my

BUKAN saja tampil dengan rekaan sporty malah ia ditala dengan ciri prestasi warisan sukan permotoran.

BMW M8 Coupe dan Gran Coupe menyertai barisan prestasi kenderaan mewah yang ditawarkan oleh jenama itu melalui pelancarannya untuk pasaran tempatan baru-baru ini.

Untuk rekaan luaran, apa yang membezakan kedua-duanya adalah versi dua dan empat pintu, namun elemen BMW 8 Series terserlah melalui apron M-Specific, gril 'ginjal' BMW dengan jejaring serta bilah berkembar.

Pada bahagian belakang, ia tampil dengan 'spoiler' M, ekzos berkembar kemasan krom dan set roda aloi M bersaiz 20 inci.

Ruang kokpit pula kelihatan mewah dengan kedudukan kerusi M Sport lebih rendah, material kulit untuk papan pemuka selain panel kemasan pada pintu.

Kerusi penumpang belakang juga selesa dengan fungsi jatuhan 50/50 untuk Gran Coupe dan 40/20/40/ untuk Coupe.

RUANG kokpit elegan.
RUANG kokpit elegan.

Barisan kelengkapan lain termasuk tuil gear M-specific, tali pinggang keledar M dan sistem bunyi Harman Kardon dengan 16 pembesar suara.

Ia juga dilengkapi sistem maklumat dan hiburan terbaik dalam kelasnya dengan BMW Alive Cockpit serta Sistem Operasi BMW 7.0 bersama paparan digital bersaiz 12.3 inci, Paparan Kawalan bersaiz 10.25 inci resolusi tinggi dan Paparan Pandu (Head-Up Display).

KLUSTER meter digital.
KLUSTER meter digital.

Kedua-duanya dipadankan dengan enjin 4.4 liter V8 BMW M TwinPower Turbo dengan hamburan kuasa kuda 600hp serta tork 750Nm dan transmisi lapan kelajuan M Steptronic.

Model ini mampu memecut dari sifar ke 100 kilometer/sejam (km/j) dalam tempoh 3.3 saat dan kelajuan maksimum mencecah 250 km/j.

Bagi disesuaikan dengan corak pengendalian, pemandu boleh memilih mod Efficient, Sport dan Sport Plus yang akan menukar tahap responsif enjin dengan bunyi ekzos melalui butang kawalan bunyi.

Bagi menambah kemantapan, sistem pacuan semua roda M xDrive disediakan untuk kestabilan terbaik dengan agihan tork yang fleksibel yang boleh dipilih daripada tetapan 4WD ke Sport, DSC dimatikan serta 2WD.

ENJIN 4.4 liter V8 TwinPower Turbo.
ENJIN 4.4 liter V8 TwinPower Turbo.

Untuk lebih keselesaan, butang Comfort, Sport dan Sport+ disediakan bagi Kawalan Peredam Bolehubah yang disepadukan bersama sistem brek M-specific.

Tujuh warga ditawarkan untuk BMW M8 Coupe dan BMW M8 Gran Coupe iaitu Alpine White, Brands Hatch Grey, Marina Bay Blue, Motegi Red, Black Sapphire, Donington Grey selain Barcelona Blue.

Ruang dalaman pula dilengkapi kulit Merino sama ada dalam warna hitam atau Silverstone.

Untuk pasaran Malaysia, BMW M8 Coupe dijual pada harga RM1,452,960 manakala BMW M8 Gran Coupe pada harga RM1,455,145.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2020 @ 7:00 AM