THE 8 coupe mewah.
THE 8 coupe mewah.
Lizam Ridzuan


MODEL ini kali pertama diperkenalkan pada 1989 sebagai ‘coupe sport’ mewah jenama BMW menampilkan ciri rekaan melangkaui zaman.

BMW 8 Series mendahului teknologi dan sistem pemanduan kenderaan dengan memperkenalkan pendikit pemanduan pacuan berwayar elektronik, Kawalan Ke­stabilan Elektronik (DSC) dan Pengendalian Aktif Integral yang kini digunakan oleh keba­nyakan kereta.

Selepas 30 tahun, model ‘The 8’ terbaharu diperkenalkan ke dalam pasaran tempatan oleh BMW Group Malaysia melalui varian tunggal BMW M850i xDrive Coupe dibangunkan daripada teknologi litar ke jalanan.

Rekaan luaran menyerlahkan gaya mewah coupe dengan padanan lampu laser BMW nipis dan rekaan signatur gril ‘buah pinggang’ heksagon yang dilengkapi aksesori talaan prestasi BMW M.

Pandangan sisi dengan jaluran bentuk dramatik dan rapi dengan permukaan melengkung ke ruang tayar hadapan dan belakang. Pada bahagian belakang dengan lampu LED, paip ekzos berkembar, garisan mendatar dan diagonal menjadikan ia tampak lebar dan sporty.

RUANG dalaman sporty dan elegan.
RUANG dalaman sporty dan elegan.

Model prestasi BMW M dikenal pasti dengan mudah melalui penampilan eksklusif warna kelabu (Cerium Grey), spoiler belakang ‘M’ serta bahagian kemasukan pintu beriluminasi memaparkan nama model kenderaan ini.

Didatangkan dengan spoiler tambahan pada bahagian hadapan untuk meminimumkan daya angkat (lift) pada gandar hadapan ketika kereta ini dipandu pada kelajuan tinggi.

Tampil menawan, sport coupe ini didatangkan dengan brek M Sport 19 inci berkuasa tinggi dengan ang­kup M berwarna biru serta rim aloi 20 inci jejari-Y manakala untuk pilihan warna kereta oren, didatangkan dengan roda hitam.

The 8 dijana enjin 4.4 liter lapan silinder V8 dengan pengecas turbo twin-scroll menggunakan BMW M Performance Twin Power Turbo mampu mencapai kelajuan maksimum mencecah 250 kilometer/sejam (km/j).

Menghamburkan kuasa 530hp pada 5,500 hingga 6,000 rpm serta tork 750Nm pada 1,800 hingga 4,600rpm, kenderaan pacuan semua roda ini dipadankan dengan transmisi lapan kelajuan Steptronic Sports meningkatkan nisbah tukaran gear untuk menghasilkan pertukaran gear sporty, pada masa sama memastikan kelancaran dan efisien dengan tona bunyi sport.

TEKNOLOGI daripada litar.
TEKNOLOGI daripada litar.

Ruang dalaman dengan kluster meter bersaiz 12.3 inci serta paparan 10.25 inci kawalan berfungsi melalui Sistem Operasi BMW 7.0 dan BMW Live Cockpit Profesional memuatkan sistem navigasi bersesuaian daripada ketersambungan multimedia dengan kapasiti 20GB, dua port USB, Bluetooth dan Wifi.

Ia mempunyai fungsi BMW Intelligent Personal Assistant ‘Hey BMW’ yang membolehkan pemandu berbual dengan kenderaan yang mana ia boleh diberi nama sendiri seperti ‘Hey Jamie’.

Melalui perbualan itu, sistem akan mengenal pasti fungsi yang akan diaktifkan sebagai contoh ‘Hey BMW, I feel tired’ dan program akan melaras mod pencahayaan, muzik dan suhu dan lain-lain bersesuaian.

Untuk pasaran Malaysia, model BMW M850i xDrive Coupe dijual pada harga bermula RM1,088,800 dengan lima tahun waranti tanpa had perbatuan serta Program Servis Berjadual Percuma dan Program Waranti Tayar BMW. #vroomHM

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 6:00 AM