PENGARAH Urusan BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl (kanan) bersama Ketua Komunikasi Korporat BMW Group Malaysia, Sashi Ambi ketika melancarkan BMW M850i xDrive Coupe atau The 8 di Kuala Lumpur, hari ini.
PENGARAH Urusan BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl (kanan) bersama Ketua Komunikasi Korporat BMW Group Malaysia, Sashi Ambi ketika melancarkan BMW M850i xDrive Coupe atau The 8 di Kuala Lumpur, hari ini.
Lizam Ridzuan


BMW Group Malaysia melancarkan model terbaharu 8 series sport coupe ‘The 8’ melalui varian BMW M850i xDrive Coupe yang dibangunkan daripada teknologi litar ke jalanan.

Rekaan luaran menyerlahkan gaya mewah coupe dengan padanan lampu laser BMW nipis dan rekaan sigantur gril ‘buah pinggang’ heksagon dilengkapi aksesori talaan prestasi BMW M.

Dijana enjin 4.4 liter lapan silinder V8 dengan pengecas turbo twin-scroll, ia ditala menggunakan BMW M Performance TwinPower Turbo mampu mencapai kelajuan maksimum mencecah 250 kilometer/sejam (km/j).

Berbekalkan kuasa kuda 530hp pada 5,500 hingga 6,000 rpm serta tork 750Nm pada 1,800 hingga 4,600rpm, kenderaan pacuan semua roda ini dipadankan dengan transmisi 8 kelajuan Steptronic Sports yang meningkatkan nisbah tukaran gear untuk menghasilkan pertukaran gear sporty dan pada masa sama memastikan kelancaran dan efisien.

Ruang dalaman dengan kluster meter bersaiz 12.3 inci di belakang roda stereng serta 10.25 inci paparan kawalan yang berfungsi melalui Sistem Operasi BMW 7.0 dan BMW Live Cockpit Profesional memuatkan sistem navigasi bersesuaian diasaskan daripada ketersambungan multimedia dengan kapasiti 20GB, dua port USB, Bluetooth dan WiFi.

Ia mempunyai fungsi BMW Intelligent Personal Assistant “Hey BMW” yang membolehkan pemandu berbual dengan kenderaan dan ia boleh diberi nama sendiri seperti “Hey Jamie”.

Melalui perbualan itu, sistem akan mengenalpasti fungsi yang akan diaktifkan sebagai contoh “Hey BMW, I feel tired” dan program akan melaras mod pencahayaan, muzik dan suhu dan lain-lain bersesuaian.

Untuk pasaran Malaysia model BMW M850i xDrive Coupe dijual pada harga bermula daripada RM1,088,800 dengan lima tahun waranti tanpa had perbatuan serta Program Servis Berjadual Percuma dan Program Waranti Tayar BMW.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 11:47 PM