Oleh Faizatul Farlin Farush Khan


Selepas kejayaan bekerjasama dengan nama besar di persada tempatan, butik talian FashionValet, mengorak langkah mengukuhkan kedudukan dalam dunia fesyen menerusi usaha bersama jenama terkenal Indonesia, Noona, untuk memperkenalkan koleksi terbaru eksklusif, Noona-3 FashionValet.

Lebih membanggakan, jenama dari negara jiran berkenaan antara jualan paling laris di butik dalam talian berkenaan.

Ditubuhkan pada 2012 di Jakarta, Noona mengeluarkan pakaian menggunakan fabrik tradisional Indonesia berkualiti tinggi, dijual pada harga berpatutan.

Pengarah Urusan FashionValet Vivy Yusof berkata, pihaknya bangga dapat bekerjasama dengan lebih 100 jenama dari Indonesia dan Noona antara produk yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan FashionValet di seluruh Asia.

“Ini kali pertama kami menjalin kerjasama dengan jenama peringkat antarabangsa dan berasa sangat gembira,” katanya.

Noona menampilkan rekaan tradisional berserta sentuhan moden dengan menggabungkan pelbagai corak batik dan ikat.

Menggunakan konsep berkenaan, Noona dan FashionValet menghasilkan gaya yang mampu membuatkan sesiapa saja tampak menarik menerusi pakaian bercorak tradisional, dengan gaya terkini yang moden.

Koleksi terbaru itu menggabungkan kardigan kimono longgar dan beralun, gaun baju-T, baju boleh dipakai luar dalam, jaket, skirt dan seluar panjang bertali di ping­gang.

Semua pakaian bersifat feminin dan anggun tanpa meminggirkan identiti Noona yang sinonim dengan kain batik, tenun dan ikat.

Warna terang, garang dan pastel pula antara tema koleksi terbaru berkenaan. Biarpun ia menampilkan fabrik dan jahitan berkualiti tinggi, harganya tetap dalam lingkungan berpatutan iaitu sekitar RM149 hingga RM229.

Fesyen eksklusif itu boleh didapati melalui laman beli-belah www.fashionvalet.com bermula awal Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2015 @ 5:01 AM