BLAUS batik cukup memikat.
BLAUS batik cukup memikat.
SEBAHAGIAN koleksi Batik Motif Uniqlo.
SEBAHAGIAN koleksi Batik Motif Uniqlo.
Intan Mas Ayu Shahimi

Cuba tanyakan kepada orang muda hari ini, berapa ramai di antara mereka memiliki kemeja atau blaus motif batik tradisional dan berani menggayakannya ketika keluar bersantai bersama teman. Pasti angkanya boleh dikira dengan jari saja.

Dalam dunia serba canggih ini, orang muda dilihat cenderung memilih gaya kasual yang ringkas, polos, jauh daripada perincian mahupun corak sarat pada fabrik. Blaus dan kemeja bercorak hanya dipakai untuk urusan rasmi atau bertandang ke majlis orang.

Berbeza dengan wanita, majoriti lelaki lebih sukar bertolak-ansur dengan kemeja bermotifkan batik tradisional.

Ia dianggap keterlaluan dan sedikit ketinggalan zaman jika hendak digayakan secara santai.

Bagaimanapun, jenama fesyen dari Jepun, Uniqlo menukar corak pemikiran orang muda sejak pelancaran motif batik tradisional Indonesia dalam himpunan dipanggil Koleksi Motif Batik pada 2016.

Koleksi batik terus menerima sambutan menggalakkan sepanjang musim sama tahun berikutnya dan kini Uniqlo melancarkan himpunan Motif Batik musim bunga dan panas 2018.

Menampilkan tekstil tradisional yang mengharmonikan warisan budaya dengan unsur moden, koleksi baru itu boleh didapati semua butik Uniqlo di Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand.

KEMEJA-T batik melengkapkan gaya kasual.
KEMEJA-T batik melengkapkan gaya kasual.

Ilham budaya Indonesia

Bertepatan dengan cita rasa orang muda, koleksi Motif Batik ini diilhamkan dari kepelbagaian budaya masyarakat Indonesia seperti Sido, Ceplokan dan Kembang.

Sido dalam koleksi ini mewakili harapan, sementara Ceplokan menggambarkan perlunya perpaduan. Motif Kembang mempunyai imejan flora yang indah, melambangkan kehidupan manusia.

Demi mengekalkan keindahan dan ciri batik tradisional dalam gaya ringkasnya, jenama itu memastikan setiap helaian koleksi baru direka dan dihasilkan sepenuhnya di Indonesia.

Tahun ini, Uniqlo membawakan corak lebih tradisional, tetapi disesuaikan dengan gaya serta kehendak golongan muda. Setiap rekaannya menampilkan perincian ringkas dan siluet moden. Material pula dipilih sesuai dengan iklim tropika Asia Tenggara.

Antara koleksi lelaki termasuk baju kemeja-T berkolar dengan pilihan lengan pendek dan panjang, manakala koleksi untuk wanita menampilkan blaus potongan longgar untuk gaya feminin.

Selain koleksi pakaian, Uniqlo juga menawarkan koleksi barangan dan aksesori untuk lelaki yang akan ditambah ke butik dari semasa ke semasa, bermula Mei depan.

Jenama itu juga akan memperluaskan lagi pilihan corak dengan sentuhan lebih moden, warna lebih cerah, serta menyelit elemen semula jadi untuk memastikan koleksi batik sesuai digayakan ke majlis khas atau rasmi.

Melalui koleksi Batik Motif, Uniqlo komited membantu meningkatkan kesedaran mengenai khazanah budaya Indonesia dalam kalangan generasi muda di rantau ini.

KEMEJA-T batik melengkapkan gaya kasual.
KEMEJA-T batik melengkapkan gaya kasual.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Mac 2018 @ 1:28 AM