LATIHAN amali cara urutan yang betul diajar kepada peserta.
LATIHAN amali cara urutan yang betul diajar kepada peserta.
SUASANA bilik urutan yang digunakan peserta bengkel latihan amali penjagaan ibu selepas bersalin.
SUASANA bilik urutan yang digunakan peserta bengkel latihan amali penjagaan ibu selepas bersalin.
NORMAH (tiga dari kanan) bergambar kenangan bersama peserta bengkel latihan amali penjagaan ibu selepas bersalin.
NORMAH (tiga dari kanan) bergambar kenangan bersama peserta bengkel latihan amali penjagaan ibu selepas bersalin.
Teks dan gambar Ainal Marhaton Abd Ghani.

[email protected].

Pengiktirafan diberikan kepada golongan yang terbabit dalam bidang urutan tradisional Melayu membuktikan kerjaya sebagai tukang urut bukan lagi satu pekerjaan kuno dan remeh yang hanya dipandang sebelah mata.

Sebaliknya, mereka adalah golongan profesional yang mampu memberi perkhidmatan terbaik dalam bidang urutan kerana berjaya mempelajari teknik me­ngurut dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki yang bukan semua orang boleh melakukannya.

Kini, sudah tiba masanya urutan tradisional Melayu yang diwarisi sejak zaman nenek moyang itu diberi pengiktirafan dan berada dalam kelas tersendiri serta mampu bersaing dengan urutan moden yang kini dilihat seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

Bertemu dengan Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Profesor Madya Normah Mohd Dali, penulis berasa wanita bersemangat waja ini sentiasa 'bernafsu tinggi' demi memastikan golongan wanita mempunyai semangat memperkasakan diri dan keluar daripada kepompong kemiskinan.

"Jangan pandang wanita miskin, ibu tunggal atau yang kurang berkemampuan sebagai golongan yang tidak mampu membawa perubahan dalam hidup.

"Mereka boleh maju dan membantu menjana pendapatan keluarga jika bijak menggunakan setiap ruang dan peluang diberikan kerajaan selama ini," kata­nya ketika ditemui sempena bengkel amali penjagaan ibu selepas bersalin atau Mama Care anjuran LPPKN dengan kerjasama Eduskill and Development Centre (Eduskill) yang berlangsung di sebuah hotel di Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

Tungku, tangas

Hadir sama sempena perasmian penutup bengkel empat hari itu ialah Pe­ngarah LPPKN Pahang, Nor Azizah Mamud dan Ketua Pegawai Eksekutif Eduskill, Zam Razak dan Presiden Persatuan Warisan Urutan Melayu ­Malaysia, Syed Mahdi Barakbah.

Normah berkata, antara kerjaya boleh diceburi wanita berkenaan ialah me­ngurut.

"Sampai bila kita hendak menggunakan khidmat tukang urut di spa dan pusat rawatan kecantikan yang menggunakan konsep aromaterapi atau dari luar negara sedangkan ada urutan yang lebih baik daripada semua itu?" katanya.

Seramai 20 peserta dari Pekan, Temerloh dan Jerantut selain peserta tuan rumah mengikuti bengkel urutan yang memberi fokus kepada pengenalan urat saraf, tungku, tangas, beng­kung dan berurut khusus untuk ibu lepas bersalin.

Normah berkata, program Mama Care adalah satu daripada inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) iaitu 1 Malaysia Family Centre sebagai premis yang menyediakan program latihan bagi menjana pendapatan.

"Hasil latihan komprehensif itu, ada kalangan mereka kini ditawarkan bekerja di beberapa hospital kerajaan dan swasta dalam bidang perbidanan dan urutan tradisional Melayu.

"Peserta memang teruja mengikuti bengkel ini kerana ia mendedahkan mereka mengenai teknik urutan dan rawatan ibu lepas bersalin yang lebih bersistematik dan konsisten," katanya.

Peserta bengkel, Hasmiza Hassan Bahari, 48, berkata program itu memberinya kesempatan mempelajari ilmu urutan tradisional de­ngan lebih mendalam.

Adab pantang

Dia memang berminat untuk mendalami bidang urutan tetapi tidak mendapat maklumat tepat mengenai urutan tradisional Melayu.

"Sejak kecil saya memang berminat dengan bidang urutan ini dan berusaha untuk mempelajarinya. Bagaimanapun, saya tidak tahu di mana harus bermula sehingga mengikuti bengkel ini.

"Bengkel ini mengajar kita kaedah untuk menjaga ibu lepas bersalin, penjagaan makanan dan kesihatan ibu dan bayi, adab berpantang, bertungku dan bertangas selain mengenali urat saraf yang perlu diperbetulkan sebaik wanita selamat melahirkan," katanya yang turut bekerja sebagai tukang masak.

Dikenali sebagai Along, wanita kurus tinggi ini me­nyifatkan bidang urutan Melayu tradisional mempunyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri.

"Urutan aromaterapi lebih kepada santai dan menenangkan fikiran tetapi urutan Melayu membolehkan kita belajar mengenali urat termasuk urat bermasalah, kawasan bengkak dan seumpamanya.

"Saya juga berazam untuk mempelajari bidang urutan tadisional ini dengan lebih mendalam dan terlebih dulu mempraktikkan­nya dalam kalangan keluarga sebelum mulakan bisnes ini di Temerloh," katanya yang menetap di Taman Seri Semantan.

Peserta termuda, Siti Fatimah Ramli, 30, berkata ilmu mengurut sangat penting dan seharusnya setiap wanita perlu mempunyai pengetahuan mengenai bidang urutan.

"Saya tidak pandai dan tidak pernah mengurut tetapi keinginan untuk mempelajari seni urutan tradisional ini sangat mendalam.

"Justeru, apabila dipelawa mengikuti bengkel ini saya tidak lepaskan peluang dan ternyata bidang ini sa­ngat menarik dan mudah untuk menjana pendapatan lumayan," katanya.

Kejang otot

Sebagai sukarelawan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM), Siti Fatimah mengambil kesempatan mengikuti program itu untuk menambah ilmu bagi memudahkannya menjalankan tugas terutama ketika berdepan situasi di luar jangkaan.

"Adakalanya ketika melakukan kerja menyelamat atau mengikuti program lasak, ada peserta mengalami kejang otot, terseliuh atau sakit urat," katanya.

Kamsinawati Mohd Ali, 39, pula berkata ilmu yang dipelajari itu menjadi nilai tambah yang sangat berguna kerana dapat dipraktikkan di salon rawatan kecantikan miliknya, Tie Beauty House yang beroperasi di Temerloh.

"Semua orang boleh me­ngurut tetapi untuk mendapatkan titik atau urat yang betul bukannya senang dan ia harus dipelajari dengan mereka yang mempu­nyai pengalaman dalam bidang urutan," katanya yang ­sebelum ini mempelajari kaedah mengurut daripada ibu saudaranya.

Ibu tunggal, Mas Ayu Mamat, 40, pula mengambil peluang menghadiri beng­kel itu untuk menambah pendapatannya yang bekerja sebagai pengasuh kanak-kanak di rumah.

"Walaupun hadir tanpa sebarang ilmu, sokongan moral tenaga pengajar dan peserta menjadikan saya bersemangat untuk mendalami ilmu urutan tradisional Melayu ini yang semakin dilupakan masyarakat," katanya.

Dalam pada itu, Syed Mahdi berkata, sepanjang empat hari mengikuti bengkel, peserta didedahkan dengan beberapa modul dengan fokus kepada urutan dari hujung ambut sampai ke hujung kaki.

Katanya, bekalan ilmu yang mencukupi berkaitan ilmu urutan mmbolehkan peserta memiliki keyakinan untuk membuka pusat rawatan kecantikan dan spa menggunakan elemen urutan tradisional Melayu.

"Peserta diajar mengenali urat, cara membetulkan urat yang bengkak, mengurut ibu bersalin, bertungku, berta­ngas dan pelbagai aspek lain sehingga mahir.

"Peserta juga akan menjalani latihan amali di beberapa pusat rawatan dan kursus lanjutan membolehkan mereka menerima sijil yang diiktiraf oleh persatuan dan kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Oktober 2014 @ 5:04 AM