NAZIRA menunjukkan alatan bertangas.
NAZIRA menunjukkan alatan bertangas.
Oleh Fazurawati Che Lah


Permintaan khidmat urutan bersalin dalam kalangan ibu muda warga kota membuka peluang kepada pelatih dari GiatMara Ampang Jaya, Selangor untuk menjalankan spa bergerak penjagaan selepas bersalin sejak empat tahun lalu.

Nazira Daud, 27, yang kini mengikuti sijil kemahiran dalam bidang dandanan rambut bijak merebut peluang itu walaupun sibuk dengan latihan di GiatMara yang diikutinya pada pertengahan tahun ini.

Katanya, dia memilih untuk menjalankan kerja urutan bersalin secara bergerak selepas mengambil kursus itu di Kolej Komuniti Kota Melaka.

“Ketika mengikuti kursus perbidanan di kolej komuniti, pengetahuan asas seperti mengenali sistem tubuh dan diiringi dengan ilmu sains ditekankan dalam penjagaan selepas bersalin.

“Kami diajar untuk mengetahui titik urutan dan aliran sistem tubuh yang betul, selain penjagaan dalam pantang seperti pemakaian bengkung, urutan bengkak susu, urutan kepala, sengkak, bertangas serta mandian herba untuk ibu dan anak,” katanya.

Katanya, tuntutan sebagai pelatih di GiatMara tidak menghalang dia untuk menjalankan kerja urutan bersalin dan buat masa sekarang urutan dijalankan pada hujung minggu.

“Jika dulu, ibu bersalin akan mengambil bidan kampung untuk mengurut mereka ketika dalam pantang.

“Tetapi dengan peredaran zaman dan pengetahuan mengenai urutan bersalin, ibu moden gemar mengupah mereka yang mahir dan diiktiraf agensi kemahiran.

“Permintaan untuk urutan tradisional sangat tinggi, terutama di kawasan bandar kerana masyarakat lebih selesa dan merasai keberkesanan urutan itu,” katanya.

Nazira memberitahu, pengetahuan asas itu juga dapat menjadikan profesion perbidanan atau tukang urut lebih moden dan setanding peredaran masa.

“Kita tidak mahu lagi melihat senario asas bidang urutan dan perbidanan diwarisi dari turun temurun tanpa pengetahuan asas seperti sistem anatomi iaitu kemahiran urutan betul.

“Seiring kemahiran urutan, ilmu sains juga dapat memberikan penjelasan kepada masalah dialami pelanggan.

“Pengetahuan asas mengenai aliran sistem tubuh sangat penting bagi memastikan perkhidmatan ditawarkan sejajar dengan ilmu perubatan moden,” katanya.

Katanya, dia memang berminat mendalami bidang urutan dan sentiasa mencari maklumat tepat mengenai urutan Malaysia.

“Minat mendalam mendorong saya berusaha mempelajari kemahiran dan teknik urutan serta perbidanan,” katanya.

Nazira berkata, sejak menceburi bidang urutan dan perbidanan, dia mampu menjana pendapatan lumayan sekiranya dilakukan dengan baik.

“Paling penting, perkhidmatan itu perlu menitikberatkan keselamatan, selain pengetahuan teknik urutan dan penjagaan yang tepat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 12:01 PM