DATUK Seri Rina Mohd Harun (tengah)  melawat pameran selepas merasmikan Bengkel Kejurulatihan Program Memperkasa Wanita dan Keluarga Menangani Tekanan di Pusat Latihan Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)  Camar Laut, Bagan Lalang. FOTO Samadi Ahmad
DATUK Seri Rina Mohd Harun (tengah) melawat pameran selepas merasmikan Bengkel Kejurulatihan Program Memperkasa Wanita dan Keluarga Menangani Tekanan di Pusat Latihan Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Camar Laut, Bagan Lalang. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Sepang: Lembaga Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menyasarkan 10,000 wanita daripada kumpulan B40 menyertai bidang keusahawanan dan kemahiran psikososial anjuran Persatuan MamaCare Malaysia menjelang hujung tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata Kementerian itu memperuntukkan Bantuan Khas Perbendaharaan PENJANA berjumlah RM1.2 juta kepada Persatuan MamaCare Malaysia bagi melaksanakan bengkel kejurulatihan itu.

Katanya, selain kemahiran urutan ibu selepas bersalin ia memberi nilai tambah perkhidmatan kepada ahli MamaCare.

Beliau berkata, program itu satu manifestasi yang membuktikan keupayaan dalam kehebatan wanita dari sudut ekonomi dan kemahiran psikososial yang boleh dicontohi dan diterokai oleh wanita lain yang berminat bagi menambah pendapatan.

"Peserta yang menyertai bengkel ini seterusnya diberi peluang untuk mengendalikan kira-kira 1,000 program di peringkat komuniti di seluruh negara," katanya kepada media selepas merasmikan Bengkel Latihan Kejurulatihan (TOT) Program Memperkasa Wanita Dan Keluarga Untuk Menangani Tekanan di Pusat Latihan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Camar Laut, Bagan Lalang di sini, tadi.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi LPPKN, Mastura Mohamad Darby dan Ketua Pengarahnya, Abdul Shukur Abdullah.

Program MamaCare adalah program inovasi sosial yang diperkenalkan bawah KPWKM pada 2012 menerusi LPPKN.

Seramai 42 peserta menyertai bengkel kejurulatihan yang diadakan selama dua hari itu.

Sejak diperkenalkan, seramai 1,431 pengamal MamaCare menyertai persatuan ini dan menjana pendapatan minimum RM500 sehingga RM20,000 sebulan dan jumlah pendapatan keseluruhan pada 2020 hampir mencecah RM10 juta.

Rina berkata, pada tahun lalu seramai 54,271 wanita mendapatkan manfaat daripada perkhidmatan disediakan MamaCare, menunjukkan ia semakin dikenali serta mendapat tempat di hati wanita bersalin.

Katanya, program itu akan diperluaskan ke 14 lokasi di seluruh negara bagi memberi nafas baharu serta nilai tambah amalan urutan tradisional ibu selepas bersalin dengan ilmu keibubapaan serta nasihat penjagaan kesihatan wanita dan keluarga.

"Saya mengajak agar lebih ramai golongan wanita B40 menyertai program ini kerana ada dalam kalangan mereka yang hilang pekerjaan, terjejas sumber pendapatan serta berhadapan tekanan hidup ketika penularan pandemik Covid-19.

"Pengamal MamaCare yang ditauliahkan dalam bengkel menangani tekanan ini disaran terus berusaha meningkatkan serta melengkapkan diri dengan ilmu kemahiran urutan yang bersesuaian pada masa hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 4:10 PM