BERSAMA rakan setugas di Port Dickson.
BERSAMA rakan setugas di Port Dickson.

Hello dan assalamualaikum semua.

Jalan masih lengang di beberapa tempat sekitar ibu kota kerana ada warga kota masih bercuti di kampung halaman masing-masing. Sekali sekala memandu dalam keadaan jalan lengang begini rasa tenang, pelik pun ada juga kerana sudah terbiasa bersesak bersama pemandu lain setiap hari.

Apabila bercuti panjang, Liza adakala tidak sabar untuk bekerja semula. Rindu! Tetapi apabila dihimpit kerja yang bertimbun terasa pula ingin bercuti panjang. Pelik.

Bercerita mengenai cuti ini, jika Sabtu lepas anda berada di Teluk Kemang, Port Dickson tentunya anda juga tidak ketingggalan untuk bersama-sama Liza menyertai Hot fm busking Jam. KRU, Mojo, Forteeen, Caliph Busker dan pe-nyampai Hot fm yang lain juga berada di sana.

Hampir 1,000 orang hadir pada malam itu untuk menyaksikan acara busking secara dekat. Liza ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada yang menyertai kami malam itu.

Untuk anda peminat tegar Mentor Legend pula yang menonton setiap minggu pastinya sudah mengetahui protÈgÈ kepada Mentor Dayang Nurfaizah iaitu Azmil yang diangkat sebagai juara.

Pilihan juara mungkin berbeza, tetapi keputusan sudah dibuat dan rezeki sudah tertulis milik jejaka yang mempunyai iras wajah Aizat Amdan itu.

Bak kata bidalan, apabila kita sudah berjaya menikahi pasangan yang kita cintai sebenarnya ia bukanlah penghujung, tetapi baru permulaan.

Sama konsepnya apabila kita baru saja selesai dengan satu-satu pertandingan dan bergelar juara, ia bukanlah penamatnya. Perjalanan baru bermula dan kejayaan sebenar dicipta di dunia realiti.

Bukan juga penamat buat Aina protÈgÈ kepada Mentor Ella yang berjaya mendapat tempat ketiga serta Sarah protÈgÈ epada mentor Amy Search.

Mereka sudah buat yang terbaik dan sama-samalah kita menyokong dan mengalualukan mereka untuk turut memeriahkan industri hiburan tanah air kerana mereka inilah juga pelapis kepada penghibur sedia ada.

Seni ini juga seperti makanan, ada yang suka nasi goreng, ada yang suka nasi lemak, namun pilihan di tangan anda, pilihlah yang menepati selera anda.

Teringat sewaktu Liza keluar dari Projek Metro dulu, apabila kerja kita ‘dinilai’ dan ‘dihentam’, terkejut dan keliru seolah-olah seperti berada di antara tebing yang tinggi dan laut yang dalam.

Kalau Liza memilih untuk terjun dari tebing yang tinggi, Liza akan jatuh ke gaung yang dalam dan jika Liza pilih untuk terjun ke laut, Liza akan mati kelemasan dek kerana tidak tahu berenang. Semua serba tak kena, sampai satu masa Liza pilih untuk belajar jatuh dari dua-dua tempat, turun perlahan-lahan dari tebing yang tinggi dan belajar berenang dalam lautan dalam.

Yang penting, kita ‘survive’! Jumpa lagi minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Februari 2015 @ 8:32 AM