Assalamualaikum dan Liza mahu tanya apa khabar semua.

Aku tanya apa khabar-bait lirik lagu Apa Khabar nyanyian Joe Flizzow dan SonaOne ini pasti menjadi siulan dalam seminggu dua ini gara-gara kemenangan mereka dalam Anugerah Juara Lagu Ke-29 (AJL29), Ahad lalu.

Mungkin lagu berkenaan bukan pilihan sebahagian daripada kita sebagai juara.

Apa yang pasti, kekuatan lagu dan lirik Apa Khabar menjadi pilihan juri untuk diangkat sebagai juara AJL29 tahun ini.

Menyusuri Gema Dalam Muzik, Liza yang turut berada di Stadium Putra Bukit Jalil malam Ahad lalu menyokong semua 12 finalis AJL29 yang hebat-hebat.

Liza tiba untuk acara Karpet Pink kira-kira jam 8.30 malam dan ketika itu sudah ramai peminat berada di situ untuk melihat selebriti Malaysia lain yang turut hadir memberi sokongan.

Saingan AJL29 kali ini sangat sengit dengan penyertaan ramai penyanyi hebat. Namun, tapi paling mencuri tumpuan pastinya kumpulan pemuzik cacat penglihatan iaitu Caliph Buskers yang diberi kepercayaan untuk bersama Mojo membawakan lagu Romancinta.

Persembahan Caliph Buskers menerusi vokal hebat penyanyinya Azmi Saat mendapat tepukan gemuruh dan semua penonton termasuk juri memberikan 'standing ovation' sebaik mereka tamat membuat persembahan.

Ketua kumpulan Mojo, Edry Abdul Halim berani mempertaruhkan sesuatu yang luar biasa kerana AJL bukan dilihat pada penyanyi yang menyampaikan lagu, tetapi kekuatan lirik dan ciptaan lagu.

Ramai penonton memuji persembahan Caliph Buskers yang dikatakan menyentuh hati dan perasaan mereka dan sangat ikhlas menyampaikan setiap bait-bait lirik Romancinta.

Malam itu mereka bukan juara AJL, tetapi juara di hati penonton.

Tidak keterlaluan untuk Liza katakan kemenangan Apa Khabar sedikit tenggelam dengan 'aura' yang dibawa Caliph Buskers ke pentas AJL.

Siapa sangka sekumpulan anak muda Orang Kurang Upaya (OKU) yang selama ini hanya mencari rezeki di tepi jalanan sekarang menjadi bintang disanjung dalam satu malam.

Bakat yang mereka miliki harap dihargai dan bukannya dieksploitasi kerana kita juga tidak mahu mereka hanya berada dalam industri hanya untuk 'satu hari'.

Tahniah juga diucapkan kepada semua finalis yang bertanding kerana memberikan persembahan yang terbaik.

Adat pertandingan ada yang kalah dan ada juga yang menang serta juri sepakat memberi kemenangan kepada lagu Apa khabar.

Berbalik semula pada rezeki dan takdir semua sudah ditentukan, malam itu sudah tertulis rezeki siapa dan siapa yang membawa pulang wang kemenangan.

Siapa kita untuk mempertikaikan takdir dan rezeki kerana juri yang dilantik hanyalah orang tengah untuk mereka yang berkenaan.

Mungkin esok, rezeki kita pula.Sehingga berjumpa lagi, jaga diri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 January 2015 @ 5:01 AM