DR Marina menjelaskan apnea tidur boleh mengganggu prestasi kerja dan aktiviti harian.
DR Marina menjelaskan apnea tidur boleh mengganggu prestasi kerja dan aktiviti harian.
ALAT CPAP diperlukan bagi memastikan pesakit mendapat oksigen secukupnya ketika tidur.
ALAT CPAP diperlukan bagi memastikan pesakit mendapat oksigen secukupnya ketika tidur.
DR Marina menunjukkan penggunaan alat bantuan MAD bagi membantu merawat apnea tidur.
DR Marina menunjukkan penggunaan alat bantuan MAD bagi membantu merawat apnea tidur.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Pernahkah anda mengalami gejala nafas berhenti selama 10 saat atau lebih dan berdengkur? Jika ya, pastikan anda mendapatkan pemeriksaan doktor dengan segera bagi mengenal pasti masalah yang berlaku.

Ini kerana masalah berkenaan boleh menyebabkan darah mengalami masalah kekurangan oksigen sekali gus membuatkan anda kerap terjaga daripada tidur.

Biarpun ia tidak menyebabkan kematian, masalah ini yang juga dikenali sebagai apnea tidur boleh mengganggu prestasi kerja dan aktiviti harian apabila anda dilanda rasa mengantuk yang melampau pada siang hari.

Lebih membahayakan diri apabila rasa mengantuk berlaku ketika memandu kerana anda berisiko tinggi terbabit kemalangan. Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai apnea tidur, ikuti wawancara penulis bersama Pakar Perunding Jabatan Otorinolaringologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM PPUKM) dan Pusat Pakar UKM (UKMSC) Profesor Madya Dr Marina Mat Baki.

Soalan (S): Boleh terangkan apakah yang dimaksudkan dengan apnea tidur?

Dr Marina: Apnea tidur adalah keadaan saluran pernafasan yang tersumbat dan berlaku ketika seseorang itu sedang tidur.

S: Bagaimana ia boleh terjadi?

Dr Marina: Ia berlaku disebabkan penyempitan saluran pernafasan ketika tidur sehingga mengakibatkan kandungan oksigen di dalam badan berkurang.

Dalam keadaan biasa, penyempitan saluran pernafasan di bahagian tekak adalah normal, tetapi ia tidak memberi kesan penyumbatan sehingga mengurangkan oksigen dalam darah.

S: Apakah sebab atau punca apnea tidur?

Dr Marina: Ia disebabkan adanya faktor yang memburukkan penyempitan saluran pernafasan ketika tidur yang nyenyak.

S: Gejala apnea tidur yang biasa terjadi dalam kalangan pesakit?

Dr Marina: Gejala apnea tidur adalah berdengkur berserta nafas yang pendek, episod berhenti bernafas berlaku berulang kali dan kerap terjaga dengan terbatuk.

Akibat tidur malam yang terganggu, pesakit biasanya akan mengalami masalah mengantuk berlebihan atau keterlaluan pada siang hari. Mereka juga biasanya berasa sakit kepala apabila bangun pada waktu pagi.

S: Siapakah yang berisiko tinggi mendapat apnea tidur?

Dr Marina: Individu dengan masalah obes kerap mengalami masalah apnea tidur. Obesiti menyebabkan pengumpulan lemak di leher yang berlebihan sekali gus memburukkan lagi penyempitan saluran pernafasan.

Selain itu, kelenjar tonsil yang besar dan tisu berlebihan pada dinding tekak dan lelangit juga boleh menyebabkan apnea tidur.

Faktor lain yang boleh memburukkan pernafasan ketika tidur adalah penyumbatan saluran hidung disebabkan masalah seperti alahan resdung kronik dan struktur hidung yang bengkok.

S: Bagaimanakah cara mengenal pasti masalah apnea tidur?

Dr Marina: Apnea tidur boleh dikenal pasti dengan melakukan ‘ujian tidur’, apabila pesakit perlu tidur dengan alat yang dipasang di badan. Alat ini boleh mengesan kekerapan berdengkur dan saluran pernafasan tersumbat berserta kandungan oksigen dalam badan.

Berdasarkan keputusan ujian tidur ini, kadar atau tahap keterukan apnea tidur ini boleh ditentukan sama ada ringan, sederhana atau berat.

Pemeriksaan fizikal, endoskop hidung dan tekak juga dilakukan di klinik untuk mengenalpasti faktor yang boleh menyebabkan saluran pernafasan tersumbat.

S: Apakah komplikasi apnea tidur pada pesakit?

Dr Marina: Apnea tidur yang tidak dirawat boleh menyebabkan mengantuk berlebihan yang akan mengganggu prestasi kerja dan aktiviti harian.

Lebih membahayakan, pesakit boleh mengalami kemalangan sekiranya tertidur ketika memandu. Selain itu, masalah ini juga menyebabkan kesukaran mengawal tekanan darah dan paras gula dalam darah bagi pengidap darah tinggi dan kencing manis.

Pesakit yang bermasalah saluran darah sempit disebabkan kolesterol plak juga berisiko tinggi mengalami serangan jantung dan strok ketika tidur.

S: Apakah rawatan yang disarankan kepada pesakit?

Dr Marina: Apnea tidur yang sederhana atau berat perlu memakai alat tekanan salur udara positif berterusan (CPAP) ketika tidur iaitu pemberian tekanan positif dalam kitar inspiratori dan ekspiratori untuk mengembangkan paru-paru bagi meningkatkan tegangan atau tekanan separa oksigen dalam darah arteri.

Alat ini akan memastikan saluran pernafasan sentiasa terbuka untuk pengaliran oksigen yang normal ketika tidur. Melalui pemakaian alat ini, pesakit akan sentiasa mendapat oksigen yang secukupnya sepanjang malam dan bangun pagi dalam keadaan segar.

Sekiranya masalah berkenaan gagal dirawat menggunakan CPAP atau penyempitan saluran pernafasan amat ketara, pembedahan tekak dan hidung boleh dilakukan.

Jenis pembedahan berkenaan bergantung kepada faktor yang dikenal pasti menyebabkan penyumbatan pernafasan. Misalnya, pembedahan pembuangan tonsil, lelangit lembut atau mengurangkan sumbatan di hidung.

Prosedur meluruskan septum hidung dan mengurangkan saiz turbinat yang membengkak disebabkan alahan hidung kronik adalah antara contoh pembedahan yang boleh dilakukan.

Selain itu, untuk pesakit yang tertentu, rawatan menggunakan ‘mandibular advancement device’ (MAD) juga membantu merawat masalah apnea tidur.

Alat ini mencegah pangkal lidah daripada menutupi saluran pernafasan ketika tidur nyenyak dengan memegang rahang bawah supaya sentiasa ke depan.

Sebelum pemakaian alat ini, rujukan bersama doktor gigi adalah perlu supaya alat berkenaan dapat dihasilkan bersesuaian dengan struktur gigi pesakit.

Bagi pesakit yang obes pula, perlu menurunkan berat badan dengan mengamalkan diet sihat dan terkawal bersama senaman secara konsisten.

Sekiranya cara ini gagal, pembedahan bariatrik (pengecilan saiz perut) oleh pakar bedah perut dan usus adalah disarankan untuk pesakit yang bermasalah obes berlebihan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2015 @ 11:27 AM