Xi’an: Sambutan Tahun Baru Cina bertukar menjadi tragedi bagi satu keluarga di wilayah Shaanxi minggu lalu apabila tiga beradik termakan pau kukus yang tercemar dengan racun boraks.

Pada hari pertama sambutan itu, nenek ketiga-tiga beradik itu menyediakan beberapa pau kukus untuk keluarganya di kampung Liujiagou, di daerah Suide.

Tetapi, kerana tergesa-gesa untuk menyediakan makanan itu, dia mencapai racun itu boraks yang disangkanya tepung, lapor agensi berita Xinhua.

Ketiga-tiga beradik perempuan yang berumur antara enam dan 16 tahun itu disahkan mati selepas memakan pau berkenaan.

Bapa mangsa dan anak lelakinya berusia lapan tahun turut memakan pau berkenaan tetapi terselamat selepas dikejarkan ke hospital.

Boraks digunakan dalam bahan pencuci, kosmetik dan racun serangga. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Februari 2015 @ 7:41 AM