Shahrul Nizam (tengah) menerima sumbangan wang tunai daripada Nor Azman di Kampung Pantai Rombang, Tanjung Kling. FOTO HASSAN OMAR
Shahrul Nizam (tengah) menerima sumbangan wang tunai daripada Nor Azman di Kampung Pantai Rombang, Tanjung Kling. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar


Melaka: Pasangan suami isteri yang berniaga kuih pau diduga dengan ujian Ramadan apabila kereta Perodua Kancil yang menjadi nadi perniagaan mereka rentung terbakar.

Kereta yang digunakan untuk mengangkut kuih pau, dapur kukus, meja dan pelbagai peralatan lain sejak 2006 hangus menyebabkan mereka berdepan kesukaran meneruskan usaha mencari rezeki.

Malah hasrat Shahrul Nizam Md Suboh, 38, dan isteri, Nursyiqah Hassan, 37, untuk berniaga kuih pau di Bazar Ramadan Pantai Puteri, Tanjung Kling dekat sini tergendala akibat kejadian itu.

Menceritakan detik malang itu, Shahrul Nizam berkata, dalam kejadian jam 3 petang, Rabu lalu, dia baru pulang menghantar anak sulung ke Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Pantai Rombang sebelum meletakkan kereta berhampiran kediaman.

"Ketika hendak masuk ke dalam rumah, tiba-tiba saya ternampak asap dari celah bonet. Saya cuba menyimbah air tetapi api kian marak.

"Dalam tempoh lima minit, seluruh kereta terbakar dan bahangnya menyebabkan cermin tingkap rumah pecah," katanya ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan di kediamannya di Kampung Pantai Rombang, Tanjung Kling di sini, tadi.

Nor Azman menyampaikan sumbangan peribadi dan makanan kepada keluarga berkenaan serta berjanji akan membaiki kediamannya yang turut rosak.

Dia bagaimanapun sedikit lega apabila bapa saudara Nursyiqah menghulurkan bantuan dengan meminjamkan kereta Proton Iswara untuk kegunaan mereka berniaga.

Shahrul Nizam berkata, kemuliaan hati bapa saudara isterinya meminjamkan kenderaannya membolehkan mereka menjalankan perniagaan di bazar Ramadan dan membuat persiapan menjelang Aidilfitri untuk anak.

"Saya buntu memikirkan bagaimana untuk berniaga sedangkan kereta sudah hangus, Mujur ramai pihak yang bersimpati," kata bapa kepada lima anak berusia enam hingga 11 tahun .

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 3:26 PM