Filem cinta Dilwale Dulhania Le Jayenge (DDLJ) lakonan Shah Rukh Khan (SRK) dan Kajol mencipta sejarah luar biasa dalam dunia perfileman di India apabila ia ditayangkan selama 1,009 minggu di pawagam Maratha Mandir yang terletak di tengah Mumbai.

Ia mula ditayangkan di panggung itu sejak hari pertama filem itu dilancarkan pada 19 Oktober 1995. Bagaimanapun, awal bulan ini pawagam itu menutup tirai tayangan filem itu buat selamanya, namun keputusan itu dibantah peminat tegar filem itu.

Filem terbitan Yash Raj Films itu adalah filem cinta terbaik dan belum ada tandingannya sehingga kini.

Keserasian lakonan SRK dan Kajol serta lagu merdu yang dimuatkan dalam filem itu membuatkan penonton sentiasa dibuai perasaan.

Mengambil berat bantahan penonton, pihak pengurusan Marathi Mandir berbincang dengan anak mendiang Yash Chopra iaitu Aditya Chopra untuk menyambung tayangan filem itu seminggu lagi.

Waktu tayangan juga diawalkan dari jam 11.30 pagi ke 9.15 pagi bagi memberi peluang orang ramai menonton filem itu di Marathi Mandir buat kali terakhir.

Filem cinta lagenda itu menang 10 anugerah Filmfare (1996) termasuk Anugerah Filem Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik dan Pengarah Terbaik.

Pemilik G7 Multiples & Gaiety Galaxy yang juga Pengarah Urusan Maratha Mandir, Manoj Desai berkata, penonton tidak gembira apabila mereka dapat tahu tayangan filem itu akan ditamatkan selepas 20 tahun ditayangkan di pawagam itu.

“Tayangan terakhir ialah pada jam 9.30 pagi hanya mempunyai 210 penonton saja. Peminat tegar filem itu mahu kami meneruskan tayangan filem itu di Marathi Mandir sehingga ada yang meluahkan perasaan mereka di laman sosial.

“Ramai juga yang menelefon pejabat, tetapi kami rasa cukuplah setakat itu saja tayangan filem ini di Marathi Mandir dan perkara itu sudah kami putuskan dengan Aditya Chopra. Keputusan itu dibuat kerana walaupun setiap kali tayangan ada penonton, tetapi jumlahnya semakin berkurangan.

“Pada awalnya panggung penuh sesak termasuk penonton dari luar negara, tetapi lama kelamaan, tiada penonton. Di panggung itu ada 1,105 kerusi dan yang terisi hanya 100 hingga 200 orang saja.

“Jadi tidak perlulah filem itu ditayangkan lagi kerana mungkin penonton pun sudah jemu. Harga tiket filem itu memang rendah berbanding harga biasa kerana filem itu sudah berusia 20 tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Februari 2015 @ 9:36 AM