Beijing: China melahirkan rasa tidak puas hati dan membantah keras lawatan Perdana Menteri India Narendra Modi ke kawasan sempadan yang dikuasai New Delhi tetapi dituntut oleh Beijing.

Lawatan Modi ke Arunachal Pradesh kelmarin yang bertujuan merasmikan projek kereta api dan kemudahan asas serta-merta mencetuskan kemarahan Beijing.

Naib Menteri Luar Liu Zhenmin memanggil duta India untuk menyampaikan ‘bantahan keras.’

Pada pertemuannya dengan duta itu, Ashok Kantha, Liu menyifatkan lawatan itu sebagai memandang rendah terhadap kedaulatan wilayah, hak dan kepentingan China, lapor agensi berita Xinhua.

Lawatan Modi secara tidak langsung menyerlahkan perbezaan antara dua-dua negara mengenai isu sempadan serta bertentangan dengan prinsip dan persetujuan yang dicapai kedua-dua belah untuk menangani isu terbabit, kata Liu.

Menjelang perjumpaan mereka, China berkata ia tidak mengiktiraf Arunachal Pradesh yang dibentuk oleh India tanpa sebarang rundingan.

Liu turut menggesa India tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh merumitkan isu sempadan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Februari 2015 @ 7:38 AM