Pulau Pag-asa: Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana semalam melawat sebuah pulau di kepulauan Spratly yang dikuasai negara itu di Laut China Selatan dan mengumumkan pembinaan beberapa kemudahan di situ.

Lawatan itu dijangka dibantah China yang menuntut keseluruhan wilayah berkenaan dan meletakkan peluru berpandu di pulau berhampiran.

Pesawat yang membawa Lorenzana, Ketua Staf Tentera, Eduardo Ano dan kira-kira 40 wartawan ke pulau Pag-asa atau dikenali antarabangsa sebagai Thitu beberapa kali dicabar China ketika melintasi ruang udara terumbu Subi yang dikuasai Beijing.

Petugas China menghubungi juruterbang bagi memberitahu mereka memasuki kawasan China tetapi juruterbang menegaskan mereka berada di wilayah Filipina.

China mendakwa keseluruhan Laut China Selatan adalah wilayahnya dan membina beberapa kemudahan termasuk senjata di beberapa pulau di Spratly.

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte sebelum ini mahu melawat pulau Pag-asa dan menaikkan bendera negara itu tetapi membatalkannya.

Selepas upacara menaikkan bendera, Lorenzana memberitahu Duterte mengarahkannya memeriksa pulau itu dan memastikan kemudahan dibina secepat yang mungkin.

Antara kemudahan yang dirancang dibina termasukpangkalan nelayan, janakuasa solar, loji penyahgaraman air, membaiki perumahan askar dan kemudahan untuk kajian marin serta pelancongan.

Menurutnya, kerajaan juga merancang untuk memperkukuhkan bangunan kecil di lapan pulau kecil yang diduduki askar Filipina. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 April 2017 @ 7:10 AM