ABDUL Rahman (kanan) bersama anaknya sedang membersihkan rumah mereka yang dinaiki air.
ABDUL Rahman (kanan) bersama anaknya sedang membersihkan rumah mereka yang dinaiki air.
Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


Melaka: Dua keluarga terjejas teruk dalam kejadian banjir kilat di Kampung Pantai 1 Tengkera dan Kampung Pulau Kelapa, di sini, selepas hujan lebat melanda kawasan berkenaan selama dua jam bermula 9 hingga 11 malam tadi.

Menurut seorang mangsa, Abdul Rahman Muhammad, 49, air mula naik ke dalam rumahnya setinggi hampir satu meter selepas hujan lebat tidak berhenti yang menyebabkan dia dan keluarga terpaksa memindahkan barangan rumah ke surau berhampiran.

"Saya menyedari air naik dengan cepat kira-kira 11 malam dan mengarahkan anak-anak mengangkat barang ke surau serta kami turut tidur di situ.

"Pada 4 pagi saya air sudah mulai surut lalu saya dan keluarga bersama-sama membersihkan rumah yang terjejas akibat banjir kilat," katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro.

Abdul Rahman yang tinggal di Kampung Pantai 1 Tengkera berkata, anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut membantu beliau memindahkan barangan rumah selain membekalkan barangan keperluan asas seperti tuala dan tikar.

Katanya, kejadian banjir kilat terbabit adalah yang pertama untuk tahun ini menimpa dia sekeluarga selepas beberapa kejadian sama melanda kediamannya pada tahun lalu.

Beliau yang turut mengusahakan perniagaan kecil-kecilan menjual ketupat memohon supaya bantuan keperluan asas dihulurkan pihak berwajib bagi meringankan beban ditanggung dia sekeluarga.

Sementara itu, jurucakap JPAM negeri dalam satu kenyataan berkata, satu pusat pemindahan turut dibuka di Surau Tengkera 1 bagi menempatkan satu keluarga mangsa banjir.

Jurucakap itu memberitahu, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan kerja-kerja membantu mangsa banjir giat dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Februari 2015 @ 10:41 AM