MAHAESWARAN (kiri) membersihkan rumahnya yang dimasuki air ketika menyambut sambutan Deepavali, semalam.
MAHAESWARAN (kiri) membersihkan rumahnya yang dimasuki air ketika menyambut sambutan Deepavali, semalam.

Kapar: Berbeza dengan keluarga lain yang gembira menyambut perayaan Deepavali, sebuah keluarga dari Taman Bayu, di sini, terpaksa melupakan kemeriahan sambutan pesta cahaya berkenaan apabila rumah mereka dinaiki air akibat banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Meru, kelmarin.

Lebih malang, keluarga berkenaan tidak dapat menjalani upacara sembahyang bersama-sama penganut Hindu lain kerana keadaan kelam-kabut serta terpaksa mencuci rumah.

K Mahaeswaran, 45, berkata, perayaan tahun ini seakan tidak sempurna kerana dia sekeluarga terlepas beberapa upacara keagamaan berikutan keadaan kelam-kabut akibat banjir kilat yang melanda kawasan perumahan berkenaan selepas hujan lebat pagi kelmarin.

“Selain tidak dapat bersama-sama dengan penganut Hindu lain melakukan upacara sembahyang, kami juga tidak dapat melakukan adat mandi minyak seperti yang dilakukan setiap tahun.

“Ini adalah banjir yang paling buruk sepanjang 14 tahun kami tinggal di sini apabila air memasuki rumah dari bahagian depan dan belakang serta mengalir seperti air sungai,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Katanya, pelbagai barang persiapan untuk sambutan Deepavali turut rosak malah pakaian baru ahli keluarga juga tidak dapat digunakan lagi.

Beliau berkata, perkara yang lebih memeranjatkannya adalah terdapat seekor ular tedung yang memasuki rumah yang dipercayai hanyut bersama air banjir.

“Kami sekeluarga terkejut dengan kehadiran ular berkenaan sebelum meminta bantuan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM ) kerana bimbang sesuatu yang tidak diingini berlaku. Malah awal pagi tadi (semalam) seekor biawak juga turut memasuki pekarangan rumahnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Meru Thaifor Noor, berkata, penduduk kini diminta supaya sentiasa berjaga-jaga kemungkinan banjir kilat akan berlaku lagi berikutan cuaca tidak menentu sejak akhir-akhir ini.

“Kami sentiasa memantau paras air di kawasan yang terbabit. Sekiranya terdapat penduduk yang memerlukan bantuan, kami akan menyalurkannya mengikut keperluan termasuk memindahkan mereka ke tempat yang lebih selamat.

“Keadaan ini (banjir kilat) berlaku kerana air di kawasan yang terbabit lambat mengalir ke sungai dan lebih memburukkan keadaan apabila air pasang besar menyebabkan pintu air di Sungai Kapar terpaksa ditutup menyebabkan air dari sini tidak dapat mengalir ke laut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Oktober 2014 @ 5:13 AM