Zainal Abdullah (berkerusi roda) bersama mangsa banjir yang lain yang ditempatkan di PPS Dewan R-Piang, Kampung Sinar Budi Baru, Batu Kawa. FOTO MOHD ROJI KAWI
Zainal Abdullah (berkerusi roda) bersama mangsa banjir yang lain yang ditempatkan di PPS Dewan R-Piang, Kampung Sinar Budi Baru, Batu Kawa. FOTO MOHD ROJI KAWI
Mohd Roji Kawi


Kuching: Sebanyak lima pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Kuching dan Bau berikutan banjir kilat melanda dua daerah itu hari ini.

Sehingga jam 2.30 petang, seramai 374 mangsa daripada 134 keluarga ditempatkan di lima PPS terbabit.

Daripada jumlah itu, seramai 194 mangsa daripada 82 keluarga ditempatkan di PPS Dewan R-Piang, Kampung Sinar Budi Baru, Batu Kawa.

PPS Dewan Masyarakat Stapok, Batu Kawa pula menempatkan seramai 98 mangsa daripada 23 keluarga.

Mangsa banjir turut ditempatkan di satu lagi PPS di Kuching iaitu Dewan Taman Malihah, Matang.

Sementara itu di daerah Bau, dua PPS dibuka iaitu di Dewan Kampung Segong yang menempatkan seramai 76 mangsa daripada 18 keluarga manakala Balai Raya Kampung Senibung pula menempatkan enam mangsa sekeluarga.

Banjir kilat melanda dua daerah itu susulan hujan lebat bermula jam 1 pagi dan berlarutan sehingga jam 6 pagi.

Salah seorang mangsa, Zainal Abdullah, 56, berkata, beliau terkejut melihat banjir kilat kali ini yang disifatkannya luar biasa, kerana dua banjir yang berlaku pada Januari dan Februari lalu tidak seteruk yang berlaku pagi tadi.

Menurutnya, banjir kilat pertama melanda Kampung Sinar Budi Baru, pada 28 Januari lalu disusuli yang kedua pada 16 Februari.

"Rumah saya mula dinaiki air mulai jam 4 pagi dan saya hanya mampu melihat kerana tidak mampu berbuat apa-apa.

"Mujurlah anggota penyelamat datang membantu dan memindahkan saya ke PPS pada jam 7 pagi," katanya.

Zainal sukar bergerak dan terpaksa berkerusi roda selepas mengalami kecederaan teruk akibat kemalangan jalan raya empat tahun lalu.

Seorang lagi mangsa, Zulia Sulong, berkata air naik dengan cepat sehingga paras dada di dalam rumahnya dalam tempoh kurang satu jam.

"Belum pernah saya melihat air naik begitu cepat seperti yang berlaku hari ini dan ini juga paras tertinggi air pernah memasuki rumah saya selepas beberapa kali banjir melanda sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2024 @ 3:49 PM