MASIH aktif dalam seni, Rosyam akui kini beliau agak memilih watak sesuai dengan usia.
MASIH aktif dalam seni, Rosyam akui kini beliau agak memilih watak sesuai dengan usia.
Oleh Norhayati Nordin

Tempoh 30 tahun bergelumang dalam industri seni tanah air bukanlah pencapaian mudah untuk dipertahankan. Namun itulah yang sudah dibuktikan Datuk Rosyam Nor.

Pada usia 47 tahun, Rosyam atau nama sebenarnya Mohd Noor Shamsuddin hingga kini sudah mengecap pelbagai kejayaan. Bahkan, dia juga masih laris di pasaran.

Menceburi dunia hiburan tempatan sejak pertengahan era 1980-an, Rosyam yang bukan hanya seorang pelakon tetapi kini bergelar penerbit drama dan filem sentiasa terbuka mencuba perkara baru.

Siapa sangka dia yang begitu terkenal dengan watak antagonis ganas mendapat kepercayaan mengemudi program bercirikan keagamaan, Da'i musim kedua di TV3. Rosyam nyata berjaya memikul tanggungjawab itu.

Disiarkan setiap Jumaat jam 9 malam, tugas Rosyam selaku pengacara semakin hampir ke kemuncak. Pun begitu, maklum balas diterima daripada penonton amat positif.

Rosyam berkata, dia sangat berbesar hati mendapat peluang dipilih sebagai pengacara program Da'i. Katanya, ia satu pengalaman indah.

"Apapun, saya sangat bersyukur dengan penerimaan baik diterima daripada penonton. Tak dinafikan, saya pernah ada perasaan gementar juga pada mulanya untuk mengacarakan program ini.

"Namun apabila melihatkan lapan anak muda berjiwa besar yang berentap untuk bakat mereka digilap menjadi pendakwah generasi baru disegani, saya jadi berani untuk mencuba. Apa lagi, tugas saya hanya sebagai pengacara.

"Ditambah faktor usia saya sekarang yang makin meningkat, mengacarakan program Da'i ini sangat sesuai. Banyak ilmu keagamaan yang saya timba," katanya.

Menurut pelakon serba boleh ini lagi, dia turut belajar dan berkongsi ilmua agama bersama peserta. Katanya, sangat menyeronokkan kerana ternyata perspektif dakwah itu bukanlah kecil.

Rosyam berkata aktiviti dakwah sebenarnya berlaku dalam kehidupan manusia setiap hari. Ujarnya sebagai contoh senyum dan memberi salam pun sudah dikira berdakwah.

Dia berkata selain itu pendakwah generasi baru juga tidak terikat dengan etika berpakaian seperti memakai jubah dan serban saja. Golongan pendakwah kini bebas berpakaian asalkan kemas, bersih dan menutup aurat.

Selain itu, Rosyam berkata beliau juga melihat golongan pendakwah generasi baru sekarang kreatif dengan menggabungkan elemen muzik ketika menyampaikan tazkirah. Katanya ia juga menunjukkan hiburan itu tidak ditolak dalam agama tetapi perlulah bersederhana.

Tidak terfikir undur diri

Mengakui teruja kerana berpeluang menimba banyak ilmu keagamaan sepanjang menjadi pengacara Da'i, apakah ia juga mungkin langkah permulaan Rosyam sebelum mengundur diri?

Kata pelakon KL Gangster 2 yang cukup dikenali dengan watak Tailong itu, dia tidak pernah terfikir pun untuk mengundur diri dari dunia seni. Dia akan meneruskan karier lakonannya, cuma agak memilih mengenai watak. Ujarnya tindakan itu dilakukan seiring faktor usia.

"Saya akan terus berlakon tetapi watak dilakonkan itu biarlah bersesuaian usia. Apapun, tumpuan saya sekarang menerbitkan drama dan filem. Menerusi satu lagi produksi saya, RK Screen yang rancak menerbitkan filem, nantikan karya cinta terbaru dan berkualiti dihasilkan, Isyarat Cinta di pawagam pada tahun depan.

"Filem menggandingkan pelakon seperti Adi Putra, Liyana Jasmay dan Fizo Omar ini adalah filem kedua diterbitkan RK Screen selepas Balistik lakonan saya," katanya.

Rosyam yang pernah mengacarakan program Fenomena Seni dan menjadi Pengetua Pilih Kasih itu juga memaklumkan produksinya kini dalam perancangan menerbitkan filem ketiga, Rempit Sampai Langit.

Filem baru yang dijangka memulakan penggambaran pada 21 Oktober ini di sekitar ibu kota itu akan diterajui pelakon seperti Nabila Huda dan Ajak (Shiro). Rosyam berkata filem itu bergenre romantik komedi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 5:00 AM