Oleh Azizan Hashim

Ipoh: Perak memberi amaran kepada awang import Charles Souza Chad supaya mempertingkatkan kemampuan jika tidak mahu disingkirkan.

“Persembahan Chad tidak mencapai piawaian. Dia perlu tingkatkan aksinya. Jika tidak kami terpaksa mencari penggantinya apabila tingkap perpindahan dibuka April nanti.

“Apapun saya akan berbincang dengan Presiden (Datuk Zainol Fadzi Paharuddin) terlebih dulu,” kata jurulatih Datuk M Karathu berikutan persembahan hambar bekas pemain Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu ketika menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Seremban, malam kelmarin.

“Sebagai pemain import dia sepatutnya memiliki kehebatan lebih daripada pemain tempatan.

“Malangnya sebagai seorang penyerang, Chad tidak mampu mengatasi pemain tempatan.

“Berikutan itu saya menggantikannya dengan pemain tempatan (Haris Safwan),” katanya.

Karathu berkata, tidak adil buat pemain tempatan kerana berhempas-pulas untuk mengimbangi kemampuan pasukan berikutan kepincangan Chad.

Malah aksi di bawah keupayaan sebenar Chad itu kini menyuntik dilema terbaru Karathu yang turut tidak dapat menggunakan seorang lagi pemain Brazil, Marco Tulio yang masih cedera.

“Pasukan lain mampu beraksi dengan tiga atau empat pemain import. Malangnya Perak hanya ada dua pemain berkesan iaitu Thiago (Junior Aquino) dan Namkung (Woong),” katanya.

Biar apapun kepincangan pasukan setakat ini Karathu masih boleh berbangga apabila anak buahnya menghasilkan dua kejayaan berturut-turut untuk menduduki tangga kedua teratas Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Februari 2015 @ 7:14 AM