MOHD Yusoff Awang (dua dari kanan) menunjukkan antara barangan curi yang dirampas dari suspek.
MOHD Yusoff Awang (dua dari kanan) menunjukkan antara barangan curi yang dirampas dari suspek.
Oleh Mohd Husni Mohd Noor


Sepang: Tiga beranak dikenali Geng Bella Aziah berjaya diberkas polis pada 5 Februari lalu selepas terbabit dalam kes curi di surau dan Hentian Rawat dan Rehat (R&R) yang dipercayai aktif sejak empat tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Mohd Yusoff Awang berkata, suspek diberkas adalah suami isteri berusia 37 dan 47 tahun dan anak perempuan mereka berusia 23 tahun.

Geng berkenaan pernah terbabit dalam puluhan kes curi di surau kompleks beli belah dan R&R di Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur serta Putrajaya.

Beliau berkata, suspek diberkas di rumah sewa dua tingkat di Hulu Langat selain merampas 54 barangan curi termasuk telefon bimbit; kamera; komputer riba dan rantai emas.

"Ekoran kejayaan itu, sebanyak 18 kes curi berjaya diselesaikan. Kami percaya banyak lagi kes akan diselesaikan berikutan penahanan geng berkenaan," katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Katanya, kesemua suspek kini ditahan reman sehingga esok malah, pihaknya akan menyambung reman suspek bagi membantu menyelesaikan banyak lagi kes curi sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Februari 2015 @ 4:14 PM