Abdul Aziz (kanan) dan pegawainya menunjukkan antara jentera berat yang dirampas daripada Geng Mega Kajang. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Abdul Aziz (kanan) dan pegawainya menunjukkan antara jentera berat yang dirampas daripada Geng Mega Kajang. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Mohd Husni Mohd Noor


Sepang: Polis berjaya melumpuhkan satu sindiket curi jentera berat dikenali sebagai Geng Mega Kajang berikutan penahanan 12 suspek pada 11 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, kesemua suspek berusia antara 31 hingga 45 tahun diberkas masing-masing di Kajang, Puchong, Dengkil dan Rompin, Pahang.

Beliau berkata, sindiket berkenaan dipercayai mula aktif sejak Januari lalu dengan menyasarkan tapak-tapak pembinaan di sekitar Sepang; Petaling Jaya dan Banting.

"Suspek utama yang juga dalang sindiket turut diberkas dan siasatan mendapati, lelaki berusia 45 tahun itu pernah dipenjarakan atas kesalahan mencuri jentera berat.

"Kami turut merampas sebuah lori pengangkut jentera berat; dua jengkaut dan tiga buah kereta daripada kesemua suspek," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Katanya, kesemua suspek ditahan reman sehingga Sabtu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, pihaknya juga memburu seorang lagi ahli sindiket dikenali sebagai Ashraf Khan Karam Khan, 28, yang dikenali sebagai Guruh dipercayai menyembunyikan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2016 @ 3:12 PM