ANTARA dadah yang dirampas. FOTO Asmah Rusman
ANTARA dadah yang dirampas. FOTO Asmah Rusman
Oleh Asmah Rusman


Kuala Lumpur: Polis menahan tiga lelaki Nigeria dan seorang pemandu teksi dalam serbuan di Puchong, Cheras dan Sungai Way, Petaling Jaya serta merampas 56 kilogram ketulan mampat disyaki ganja bernilai RM500,000, semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN)Bukit Aman Datuk Pahlawan Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, semua suspek ditahan antara 2 pagi hingga 12.10 tengah hari semalam oleh pasukan JSJN dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING).

"Pemandu teksiĀ  berusia 49 tahun berkenaan adalah keldai dadah yang diupah sindiket warga Nigeria dengan bayaran antara RM500 hingga RM1,000.

"Lelaki itu ditugaskan untuk mengambil dan membawa bekalan dadah yang diseludup dari Thailand ke sini menggunakan teksinya bagi mengelak dikesan polis," katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Katanya, dadah yang diisi dalam empat beg itu ditemui di bahagian bonet kereta di tempat letak kereta pangsapuri di Puchong.

Katanya, tiga lelaki Nigeria berkenaan berusia antara 24 hingga 34 tahun dengan dua daripadanya memiliki dokumen perjalanan yang tamat tempoh manakala seorang lagi tiada dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2015 @ 12:52 PM