GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Lima penjawat awam ditahan apabila didapati positif dadah dalam serbuan oleh Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS), Bukit Aman ke atas sebuah pusat hiburan di Jalan Puchong, di sini, kelmarin.

Dalam serbuan jam 11.45 malam, polis turut merampas pelbagai jenis dadah daripada tiga yang ditahan.

Sumber berkata, mereka dilaporkan bertugas di Bukit Aman dan juga Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields.

"Selain penjawat awam itu, pasukan yang melakukan serbuan turut menahan penjaga premis yang juga seorang wanita tempatan, seorang pelayan wanita warga Vietnam dan tiga lelaki warga Bangladesh," katanya.

Berdasarkan laporan tangkapan yang tersebar di aplikasi Telegram, polis juga merampas hampir 6.93 gram (gm) dadah jenis syabu, 0.87 gm dadah ganja, 5.65 gm dadah jenis ketamin dan 26 pil erimin 5.

Selain dadah, polis turut merampas peralatan permainan muzik dan dua pembesar suara.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor dilaporkan akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2022 @ 4:25 PM