Agensi

Jakarta: Presiden Jokowi mungkin melakukan rombakan kabinet ekoran beberapa perkembangan terkini politik di Indonesia, termasuk pertemuan tokoh itu dengan ‘musuh’ beliau tahun lalu, Prabowo Subianto.

Anggota kumpulan yang ditugaskan mencari penyelesaian membawa Indonesia keluar dari kebuntuan politik, Imam Prasodjo berkata, pertemuan Jokowi dengan Prabowo boleh menimbulkan ketegangan baru.

Mengakui dia tidak faham apa percaturan sedang dibuat, Imam berkata, ada kemungkinan beberapa tokoh akan dibawa menyertai Kabinet Kerja Jokowi.

“Rombakan Kabinet itu sangat mungkin,” katanya.

Jokowi - yang mewakili Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) - mengalahkan Prabowo yang juga Ketua Umum Parti Gerindra dalam pemilihan presiden tahun lalu.

Ketika itu kedua-dua tokoh saling menyerang antara satu sama lain, dan selepas keputusan diumumkan Prabowo bertegas enggan mengiktiraf Jokowi.

Mereka bertemu akhir bulan lalu.

Namun Jokowi ‘terperangkap’ dalam isu pelantikan Ketua Polis Indonesia yang baru dengan kemunculan bekas pegawai kepercayaan Ketua Umum PDI-P, Megawati Sukarnoputri, Budi Gunawan.

Budi kemudian disahkan sebagai suspek oleh agensi antirasuah Indonesia kerana disyaki terbabit dalam salah guna kuasa.

Imam berkata, walaupun melihat kemungkinan berlaku rombakan Kabinet, dia berharap menteri Jokowi yang baru tiga bulan dilantik tidak terjejas.

“Kami memang mahu pemerintahan yang stabil, tapi saya berharap Jokowi tidak terburu-buru,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Februari 2015 @ 7:12 AM